Solat Jumaat sekurang-kurangnya 40 jemaah ikut Mazhab Syafie -Mufti Negeri Sembilan

SEREMBAN - Mengikut Mazhab Syafie, Solat Jumaat hendaklah didirikan dengan jumlah jemaah sekurang-kurangnya 40 orang atau lebih mengikut yang muktamad dan didirikan di tempat yang telah diizinkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Fauzdinaim Badaruddin berkata, ia berdasarkan kaedah serta pelaksanaan hukum syarak dan konteks undang-undang Syariah yang sedang berkuat kuasa di Negeri Sembilan.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berkaitan surat jabatan itu bertarikh 21 April 2026 yang telah tersebar di media sosial berhubung persoalan hukum syarak mengenai status solat Jumaat yang kurang dari jumlah jemaah seramai 40 orang yang telah didirikan di Kediaman Rasmi Undang Luak Sungai Ujong yang turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak ketika itu.
"Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa surat berkenaan dikeluarkan hanya bertujuan untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh pemohon yang beralamat di Balai Undang Luak Sungai Ujong dari sudut dan pandangan hukum syarak.
"Jawapan berkenaan adalah berdasarkan keputusan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (Khas) Bil 1/2026 yang telah bersidang pada 27 Mac 2026 bersamaan 7 Syawal 1447H,"katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini tular surat pengesahan solat Jumaat di Balai Undang Luak Sungei Ujong yang ditandatangani oleh Fauzdinaim yang memaklumkan bahawa solat Jumaat yang dilaksanakan di balai tersebut adalah sah dan tidak boleh dianggap sebagai perbuatan mengubah atau melanggar hukum syarak.
Ia susulan timbulnya aduan berhubung pelaksanaan solat Jumaat di situ sebelum ini.
Menurutnya lagi, Ahli Jawatankuasa Fatwa telah meneliti dan mempertimbangkan pelbagai hujah serta dalil-dalil dari kitab-kitab Fiqh Muktabar Ulama Mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki melalui disiplin ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh.
Jelasnya lagi, ia juga tidak mempunyai sebarang niat atau kaitan dengan isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
"Jabatan turut menjelaskan bahawa keputusan yang melibatkan hukum syarak yang diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri telah melalui perbincangan yang mendalam berdasarkan disiplin keilmuan Islam sebelum sesuatu hukum mahu pun fatwa itu dikeluarkan.
"Jabatan juga berharap agar tidak disalah ertikan seterusnya mengheret institusi mufti dan kefatwaan negeri dalam isu dan kemelut yang sedang berlaku di Negeri Sembilan,"katanya.
Fauzdinaim berkata, jabatan itu sentiasa mendoakan agar segala kemelut yang sedang berlaku di negeri ini diselesaikan dengan penuh harmoni dan institusi Diraja serta adat di Negeri Sembilan sentiasa dilindungi, diberkati dan mendapat Inayat petunjuk dari ALLAH.
Beliau menegaskan bahawa, jabatan terbabit sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaku Ketua Agama Islam di Negeri Sembilan dan Institusi Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

