ADUN lantikan: 'YB yang cadang, kemudian nak saman pula' – Akmal Saleh

Muhamad Akmal mempersoalkan tindakan PH Melaka menyaman kerajaan negeri berhubung ADUN lantikan.
Muhamad Akmal mempersoalkan tindakan PH Melaka menyaman kerajaan negeri berhubung ADUN lantikan.
A
A
A

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan ADUN lantikan.

Akmal berkata, sebelum ini Adly yang mencadangkan kepada Ketua Menteri Melaka untuk mewujudkan ADUN lantikan.

“Kenapa ya YB? YB yang mencadangkan untuk mewujudkan ADUN lantikan, siap letak dalam hantaran dan sebagainya, dah keluar berita dan sebagainya, tapi bila DAP berdehem sedikit aja tak setuju, YB terus pusing tak setuju,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan PH Melaka memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan ADUN lantikan.

Susulan tindakan saman itu, Muhamad Akmal turut menggesa PH dan DAP untuk mengambil tindakan sama terhadap kerajaan Sabah dan Pahang yang turut terdapat ADUN lantikan.

“Di Sabah ada ADUN lantikan daripada PH. Di Pahang juga ada ADUN lantikan daripada PH.

“Jadi, ketika di Sabah dan Pahang boleh terima pula, tetapi di Melaka tidak boleh? Adakah kerana sudah hampir Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga pendirian itu berubah?” soalnya.

Beliau mahu PH menyatakan pendirian jelas berhubung isu itu supaya rakyat dapat menilai pendirian sebenar gabungan berkenaan.

“Tak apa, saya nak tunggu juga, tolong jawab dengan jelas supaya rakyat tahu betapa hipokritnya PH dalam Melaka dan PH seluruh Malaysia ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!