Khemah terbang, barang niaga bersepah

Shahrul Nazrin dan isterinya menunjukkan keadaan khemah niaga mereka yang rosak teruk akibat dibadai angin kuat dalam kejadian di Parit 4 Ban 2, Sekinchan pada Selasa.
Shahrul Nazrin dan isterinya menunjukkan keadaan khemah niaga mereka yang rosak teruk akibat dibadai angin kuat dalam kejadian di Parit 4 Ban 2, Sekinchan pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM – [DIKEMAS KINI] "Angin terlalu kuat sampai khemah terbang dua meter dan barang niaga habis bersepah."

Demikian luahan peniaga makanan, Shahrul Nazrin Suhaimi, 31, selepas khemahnya rosak teruk dibadai angin kuat dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada Isnin.

Menurut Shahrul, kejadian berlaku ketika dia dan isterinya, Noorhidayah Norazidi, 31, sedang bersiap untuk berniaga seperti biasa di halaman rumah ibunya di Parit 4 Ban 2, Sekinchan.

Bagaimanapun, katanya, ketika angin kuat mula melanda, mereka bergegas masuk ke dalam rumah kerana perlu menguruskan anak-anak.

"Saya sedang mandikan anak sulung berusia lima tahun, manakala isteri pula masuk tengok anak bongsu yang baru setahun sebab bimbang dia tinggal seorang diri.

"Syukur waktu kejadian tiada siapa berada di bawah khemah dan kami semua selamat daripada bencana," katanya yang sudah lima tahun berniaga rojak pasembur dan cucur udang.

Tambah Shahrul, ini kali ketiga khemahnya rosak akibat ribut sejak mula berniaga.

"Kali pertama berlaku di lokasi sama lima tahun lalu, manakala kejadian kedua ketika berniaga di bazar Ramadan akibat fenomena puting beliung.

"Setiap kali Ramadan kami berniaga di bazar dan selepas itu akan kembali berniaga di halaman rumah ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Shahrul menganggarkan kerugian akibat kejadian itu mencecah RM1,000 apabila tepung bancuhan, udang dan barangan jualan lain rosak sepenuhnya.

“Sekarang kami tak dapat berniaga sebab masih cari kanopi baharu,” tambahnya.

Menurutnya, gerai mereka biasanya beroperasi setiap hari dari jam 2 petang hingga 6.30 petang dan menjadi punca pendapatan utama keluarga.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Shahrul Nazrin di talian 019-5251898.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!