Ramai peniaga di Kelantan ingkar arahan, niaga hingga jam 4 pagi malam raya

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengesan ramai peniaga ingkar arahan dengan berniaga sehingga jam 4 pagi pada malam raya.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, mengikut arahan mereka hanya dibenarkan berniaga sehingga jam 12 tengah malam pada hari tersebut.
"Bagaimanapun kami mengesan ramai yang ingkar arahan terutama melibatkan peniaga bazar Aidilfitri di Kota Bharu.
"Kami faham mereka berbuat demikian kerana sambutan daripada perantau yang membuat persiapan akhir Aidilfitri.
"Namun disebabkan itu ia telah mengganggu kerja-kerja pembersihan," katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.
Menurut beliau, melihat kepada situasi tersebut pihak kerajaan negeri akan mencari satu kaedah lain bagi memastikan perayaan akan datang para peniaga dapat mematuhi arahan yang ditetapkan.
Ujarnya, walaubagaimanapun tidak ada tindakan yang diambil.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Banda Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan urus niaga dan operasi di Bazar Raya Aidilfitri setakat jam 12 tengah malam.
MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, peraturan tersebut bawah Aka Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil Penjaja
Kegagalan mematuhi notis menyebabkan peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 171 dan Undang-Undang Kecil Penjaja MPKB-BRI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

