Rakyat binasa jika terpengaruh bebalisme

ISU lagu negeri Perak dinyanyikan dalam bahasa Cina di sebuah sekolah yang tular di media sosial baru-baru ini kembali menghangatkan soal perpaduan dan keharmonian di negara kita.
Dengan cepatnya, ramai yang menghakimi situasi itu sebagai satu lagi cubaan menggugat perpaduan oleh satu kaum, susulan beberapa insiden yang dikatakan menyemarakkan pergeseran antara masyarakat majmuk di Malaysia.
Melihat komen Menteri Pendidikan yang mengulas tindakan pempengaruh politik yang memainkan isu itu sebagai 'bebalisme', ia mungkin paling tepat kerana sudah banyak kali ada pihak cuba menangguk di air keruh, mengambil kesempatan demi kepentingan diri.
Bebalisme merupakan satu kalimah yang dicipta oleh Syed Hussein Alatas (1928-2007) untuk memperlihatkan sebuah gejala bejat yang melanda masyarakat, terutamanya masyarakat Malaysia.
Sepatutnya, politik menjadi platform paling depan untuk mendidik masyarakat mengukuhkan perpaduan dengan pelbagai elemen yang ada, jauh sekali untuk menyemarakkan api perpecahan.
Sebaliknya, isu tersebut sengaja dimanipulasi di media sosial demi mendapat tanda suka dan menjadikannya tular.
Bebalisme merupakan parasit dalam fikiran dan perlu kita buang jauh-jauh daripada membarah dalam masyarakat kita. Sentimen anti kepada satu-satu kaum perlu dielakkan, malah mereka yang sengaja mencurah minyak ke dalam api ini perlu diambil tindakan segera.
Kita sudah berada di tahun 2025. Perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara berimpak tinggi akan terganggu jika golongan yang semberono dan bebal ini masih bermaharajalela menyebarkan fitnah sewenang-wenang tanpa memikirkan kesannya kepada semua.
Jika rakyat dipengaruhi bebalisme, maka binasalah masyarakat. Terlalu banyak hantaran di media sosial hari ini tidak mempunyai tujuan, sebab dan jelas bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan menimbulkan ketegangan kaum. Bukan soal main-main lagi kerana penyalahgunaan kemudahan ini sangat ketara.
Ini dibuktikan dengan pelbagai akaun di media sosial yang dicipta khusus sebagai 'senjata' untuk memfitnah, memburuk-burukkan serta membunuh karakter seseorang.
Justeru, kita perlu mengangkat darjat serta martabat negara dengan kekuatan ilmu dan bukan fitnah daripada bebalisme yang merosakkan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
