Kebakaran Putra Heights: Selangor tampung kos sewa rumah mangsa selama 6 bulan

SHAH ALAM - Selangor akan menampung kos sewaan rumah 613 keluarga yang terlibat dengan insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini dengan jumlah keseluruhan bernilai RM7.356 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.
Menurutnya, ia merupakan anggaran tempoh untuk mangsa membaiki atau membina semula rumah.
“Kita masih tawarkan rumah sewa di Kota Warisan dan AirBnb. Kalau mereka menginap di sini, mereka boleh gunakan sumbangan ini untuk membayar dan kita serahkan wang kepada ketua isi rumah.
“Kita anggarkan sekitar RM1,000 kadar sewa di Kampung Kuala Sungai Baru. Kita beri sumbangan RM2,000 dan saya rasa jumlah ini berpadanan dengan musibah. Jika tidak, boleh juga cari rumah lain selain daripada kita tawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Isnin.
Tambah Amirudin, keputusan itu dibuat selepas menilai laporan dan aduan mangsa berikutan dakwaan lokasi rumah yang agak jauh.
“Jadi, kita putuskan lebih baik beri duit sewa. Kalau mereka berminat duduk di Taman Warisan, boleh duduk di sana.
“Kalau mahu AirBnb sekitar sini, duduk dan dapat dua bulan percuma, selebihnya ditanggung kerajaan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Johary Anuar akan mengetuai fasa pemulihan termasuk keadaan dan kaedah baik pulih kawasan seperti rumah, jalan, infrastruktur serta fasiliti awam.
“Johary juga merupakan pengarah unit perancang ekonomi negeri dan akan melihat keseluruhan proses pemulihan. Jadi, proses ini akan meliputi kediaman yang perlu dibaiki serta kos membaik pulih infrastruktur,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
