'Saya pernah jatuh tapi tidak pernah berhenti untuk bangkit'

KUANTAN – Kejatuhan dalam perniagaan kosmetik empat tahun lalu sehingga terpaksa menjual semua harta benda tidak mematahkan semangat seorang ibu kepada lima cahaya mata untuk bangkit semula.
Sebaliknya, pengalaman pahit itu menjadi pendorong kepada Noor Hasnida Arifin, 36, membina semula legasi baharu dengan menjual pokok hiasan bromeliad.
“Masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perniagaan jatuh. Semua simpanan termasuk emas, rumah, kereta terpaksa jual tapi saya banyak minta dengan ALLAH, apa yang perlu buat selepas ini untuk teruskan hidup.
“Walaupun jatuh teruk, saya tidak pernah rasa akan terus jatuh kerana yakin ALLAH tidak menzalimi hambaNya. Kita kena positif dan saya tetap optimis untuk bangun semula,” katanya ketika ditemui di Perumahan Cempaka Aman, Tanjung Lumpur di sini.

Noor Hasnida yang kemudian hamil anak sulungnya memilih menanam pokok betik, cili, kacang botol, serai, kunyit dan menjual benih tumbuhan itu di media sosial sebagai sumber pendapatan.
Wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu kemudian mengembangkan perniagaan kepada tanaman hiasan seperti keladi, sebelum beralih sepenuhnya kepada perniagaan bromeliad pada 2022.
“Saya mula dengan bromeliad selepas pelanggan keladi saya datang bawa pokok ini dan beri hadiah.
“Saya tanam, jaga dan rasa lebih senang berbanding keladi yang perlu kerap disiram. Bromeliad ini, kita letak saja, warnanya akan naik sendiri,” ujarnya yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik.

Noor Hasnida yang merupakan bekas jururawat kini membiakkan sendiri bromeliad, termasuk spesies Neoregelia dan Vrieseia yang diperoleh dari luar negara.
“Biasa orang kenamaan, suka buat landskap untuk rumah kerana ia boleh cecah RM1,000 sepokok, yang murah pun ada juga (sekitar) RM10 sebab kita buat pembiakan sendiri,” jelasnya yang menjalankan perniagaannya dari rumah.
Noor Hasnida mengakui industri tanaman bromeliad mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kerana kebanyakan bekalan masih diimport dari luar negara.
Menurutnya, belum ada usahawan tempatan yang benar-benar membiakkan dan mengusahakan tanaman ini secara komersial.
“Saya nampak peluang itu, tapi kekangan modal dan masa, jadi kita cuba jika ALLAH izin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!