Diserang strok haba tidak patah semangat pegawai bomba bertugas


SHAH ALAM - “Selepas setengah jam bertugas di lokasi kejadian, saya mula berasa loya, sesak nafas dan seperti mahu pitam tetapi saya terus kuatkan semangat untuk teruskan tugas hingga selesai.”
Demikian pendedahan Pegawai Bomba, Mohamad Hafizth Omar, 32, yang merupakan salah seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, menceritakan pengalamannya diserang strok haba ketika operasi menyelamat mangsa dan memadam kebakaran saluran paip gas meletup di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu.
Menurut Mohamad Hafizth, kejadian itu berlaku di saat beliau baru melaksanakan operasi lapangan pertamanya selepas lapan tahun berkhidmat sebagai pegawai bomba.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, arahan pertama diterimanya adalah tugasan mencari dan menyelamat mangsa yang berada dalam lingkungan kawasan letupan sebelum beralih fokus kepada kerja pemadaman api.
“Apabila memakai banyak peralatan perlindungan peribadi (PPE) ini, pergerakan juga menjadi terhad dan lebih mencabar susulan situasi di sana sangat panas serta membahang.
“Mungkin disebabkan keadaan itu, kesihatan saya mula terganggu. Namun saya sempat diberi bantuan pernafasan dan direhatkan selama 20 minit sebelum kembali bertugas.
“Jika diikutkan hati, saya memang sudah kehabisan tenaga tetapi semangat serta kekuatan untuk meneruskan misi menyelamat dan memadam kebakaran ini mendorong saya untuk teruskan tugas,” katanya kepada Sinar Harian.
Kisah Mohamad Hafizth mendapat perhatian seluruh negara selepas tular gambar di media sosial menunjukkan dirinya terduduk sambil memakai alat bantuan pernafasan.
Katanya, dia sendiri tidak menyedari perkara tersebut, malah isterinya juga hanya mengetahui situasi sebenar selepas melihat gambar tular berkenaan.
“Selepas dapat tahu, memang dia (isteri) menangis. Risau keadaan saya sebab nak hubungi pun tidak boleh kerana di sana telefon akan cepat panas,” ujarnya.
Mohamad Hafizth berkata, pengalaman terlibat secara langsung dalam insiden kebakaran saluran paip gas itu merupakan kenangan bermakna dan berharga memandangkan tidak semua pegawai bomba dapat merasainya meskipun perlu berdepan situasi mencabar serta panas membahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

