Budaya 'menuai', duit kopi pada musim perayaan buka ruang rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Hamdan Daniel M Sharib
Gambar hiasan. Gambar kecil: Hamdan Daniel M Sharib
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya 'menuai' atau pemberian ‘duit kopi’ yang sering berlaku ketika musim perayaan perlu dihentikan kerana gejala itu membuka ruang kepada kegiatan rasuah yang semakin berakar dalam masyarakat.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, amalan itu bukan sahaja tidak bermoral malah mampu mengancam keselamatan awam sekiranya terus dibiarkan.

"Budaya seperti ini harus ditamatkan serta-merta kerana tindakan itu boleh membawa padah yang lebih besar dan mengundang risiko terhadap nyawa serta keselamatan orang ramai.

"Jangan jadikan alasan kekurangan bajet Hari Raya sebagai lesen untuk menghalalkan rasuah.

"Sepatutnya bulan Syawal disambut dengan keberkatan, bukan dikhianati dengan perbuatan tidak berintegriti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Hamdan, penguatkuasaan longgar dalam membendung amalan rasuah bermusim terutama di lapangan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik dan agensi sempadan terus membuka ruang kepada perlakuan tidak berintegriti.

“Pada pendapat saya, penguatkuasaan rasuah masih lemah di negara ini.

"Justeru, segala usaha perlu ditambah baik agar budaya sogokan ketika musim perayaan terus dikekang secara serius agar tidak membarah pada masa hadapan,” ujar beliau.

Tambahnya, mekanisme paling utama dalam melawan budaya pemberian atau penerimaan ‘duit kopi’ ketika musim perayaan adalah dengan meningkatkan daya tahan terhadap rasuah dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya jati diri yang padu, segala bentuk dugaan dan godaan daripada pemberi rasuah dapat dielakkan. Tiada yang mustahil sekiranya setiap daripada kita mengamalkan budaya hidup bersih.

“Semua rakyat harus mengambil bahagian dalam memutuskan rantaian rasuah hingga ke akar umbi,” katanya.

Selain itu, Hamdan berpandangan, pemberian duit raya atau ‘hamper’ semasa musim perayaan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar niat murni tidak disalah erti.

“Jangan ada udang di sebalik batu. Segala amalan dalam pemberian harus jelas niatnya dan mengambil kira persepsi masyarakat supaya tidak mengundang bahaya rasuah.

“Penyampaian pemberian tersebut juga perlu jelas. Mari kita bersama-sama membanteras rasuah agar Aidilfitri lebih bererti,” seru Hamdan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!