Kebakaran Putra Heights: Penduduk dua kampung resah nilai hartanah merosot

Kebocoran gas yang berlaku berdekatan Kampung Kuala Sungai Baru pada Selasa lalu. Gambar kecil: Mohd Badly, Irwan Zulhelmi, Baharuddin
Kebocoran gas yang berlaku berdekatan Kampung Kuala Sungai Baru pada Selasa lalu. Gambar kecil: Mohd Badly, Irwan Zulhelmi, Baharuddin
A
A
A

SUBANG JAYA - Insiden kebocoran gas di Putra Heights di sini meresahkan penduduk Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru kerana dikhuatiri akan menjejaskan nilai pasaran hartanah di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd Badly Nordin, 40, berkata, nilai hartanah di Kampung Sungai Baru misalnya, mencecah sehingga RM800,000 bagi setiap 0.4 hektar, namun berisiko merosot sekiranya tiada jaminan bahawa sistem keselamatan akan dipertingkatkan.

"Walaupun rumah kami terletak di pinggir bandar, nilai hartanah tetap tinggi kerana kedudukannya yang strategik.

"Jika tiada langkah penyelesaian diambil segera, kami bimbang harga hartanah akan jatuh merudum,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini pada Sabtu.

Mohd Badly berkata, kebanyakan penduduk yang memiliki tanah mula risau kerana bimbang tiada pembeli di kawasan kampung itu.

"Kawasan kami memang terjejas teruk dan ini memberi gambaran negatif kepada pembeli, selain berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu ini segera dan memberi jaminan bahawa keselamatan dapat terus dipertingkatkan," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Irwan Zulhelmi Baharuddin, 38, berkata, penduduk kini berasa tidak lagi selamat untuk terus menetap di sini.

Irwan Zulhelmi yang menyewa di Kampung Tengah, memberitahu, sebelum ini dia memang merancang untuk membeli dan menetap di kampung terbabit.

"Sejak insiden ini, saya mula mempertimbangkan semula hasrat untuk menetap di sini secara tetap kerana bimbang ia tidak selamat untuk diduduki.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih berbincang dengan keluarga sama ada untuk berpindah atau kekal mendiami kawasan ini," ujarnya.

Katanya, insiden letupan itu berlaku hampir dengan rumah yang didiaminya hingga menyebabkan salah seorang anaknya tercedera dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

"Saya sempat bertempiaran lari ke sungai berdekatan sambil mendukung dua anak, namun terjatuh hingga menyebabkan kedua-dua anak berusia tiga dan lima tahun terjatuh dan cedera.

"Setiap kali dengar bunyi bising, saya dihantui perasaan risau dan masih trauma akibat insiden ini,” jelasnya.

Penduduk Kampung Tengah, Baharuddin Yusof, 66, berkata, dia menetap di kawasan itu sejak 40 tahun lalu dan memiliki 0.4 hektar tanah.

Katanya, kawasan tanahnya itu kini dibangunkan rumah sewa sejak lapan tahun lalu.

"Kawasan tersebut sebelum ini memang mempunyai potensi yang tinggi untuk disewa kerana kedudukannya yang dekat dengan fasiliti, pusat bandar serta kemudahan awam lain.

"Namun, kini situasi telah berubah disebabkan insiden kebocoran gas menyebabkan ramai penduduk bimbang tentang keselamatan dan nilai hartanah di kawasan ini," kata Baharuddin.

Baharuddin juga menyuarakan kebimbangannya mengenai langkah keselamatan yang seharusnya dipertingkatkan pihak berwajib.

"Pihak berkuasa mesti proaktif dan tidak boleh lepas tangan bagi memastikan setiap projek melibatkan bahan berbahaya seperti gas mesti mendapatkan permit sah dan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!