Pulau Pinang anjur sesi meja bulat bincang implikasi pelaksanaan tarif Trump

Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kadun Jawi pada Ahad.
Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kadun Jawi pada Ahad.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kerajaan Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi akan menganjurkan sesi meja bulat bersama pihak industri dan wakil persatuan bagi membincangkan mengenai pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sesi berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Penang Institute pada Jumaat depan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan pemain industri berkenaan implikasi pelaksanaan tarif berkenaan di negeri ini.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri telah menghantar maklum balas awal yang dikumpulkan dari pihak industri berhubung perkara sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk diteliti.

"Pihak industri di negeri ini mengemukakan pandangan awal dan meluahkan kebimbangan mereka terhadap kenaikan tarif yang dikenakan AS terhadap Malaysia terutamanya Pulau Pinang sebagai hab perindustrian.

"Kerana ia masih dalam peringkat awal, banyak pihak sudah pun kemukakan kenyataan dan pandangan termasuk dari Perdana Menteri, dari Menteri MITI dan Menteri Kewangan kedua yang mana semua menyuruh supaya kita sabar untuk memahami dengan lebih teliti lagi.

"Malah, senarai produk-produk yang akan dikenakan tarif adalah amat panjang, amat detail (terperinci) dan kalau perhatikan ulasan-ulasan dari pakar-pakar pun ada yang menjangka impak kepada ekonomi Malaysia termasuk Pulau Pinang

"Dalam hal ini, ada yang menyatakan begitu positif sebab kini tarif yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan negara jiran kita di rantau Asia Tenggara ini termasuk Vietnam, Thailand, Indonesia yang sememangnya bersaing kepada Malaysia dan oleh kerana tarif yang lebih rendah ada ulasan kata sebenarnya kita akan menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik namun ini semua pandangan awal saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tarif timbal balik AS sama ada ia akan memberi kesan terhadap industri Pulau Pinang terutamanya kesan kehilangan pekerjaan.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Ekonomi Pulau Pinang ditemui ketika Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kadun Jawi, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.

Presiden AS itu turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!