Tsunami pelarian kembali di Greece

Kumpulan migran berjalan di sepanjang sempadan Turki-Greece berhampiran Pazarkule di daerah Edirne semalam. - Foto AFP
Kumpulan migran berjalan di sepanjang sempadan Turki-Greece berhampiran Pazarkule di daerah Edirne semalam. - Foto AFP
A
A
A

ATHENS - Greece bertindak segera menyekat hampir 10,000 migran yang cuba memasuki negara itu melalui sempadan Turki dalam tempoh 24 jam, menurut sumber pemerintah hari ini.

Gelombang tsunami migran kembali melanda selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengancam membuka pintu sempadan kepada kira-kira 3.6 juta pelarian bagi memberi tekanan kepada negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berhubung konflik di Syria yang meragut nyawa 34 tentera Ankara di wilayah Idlib pada Khamis lalu.

“Kira-kira 9,972 pendatang haram berjaya disekat di kawasan Evros sejak jam 6 pagi (waktu tempatan) semalam,” kata sumber pemerintah merujuk kepada wilayah timur laut di sepanjang sempadan Turki.

Difahamkan, kumpulan besar pelarian itu cuba memasuki Greece melalui Hutan Kastanies.

“Kira-kira 73 migran diberkas dan kebanyakannya mereka dari Afghanistan, Pakistan dan Somalia,” kata sumber itu lagi.

Terdahulu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memaklumkan kira-kira 13,000 migran termasuk keluarga dan kanak-kanak telah berkumpul di sepanjang sempadan Ankara-Athens untuk memasuki blok terbabit.

Sementara itu, agensi perlindungan sempadan EU, Frontex mengesahkan mereka kini berada dalam situasi berjaga-jaga.

“Kami menaikkan tahap amaran untuk semua kawasan bersempadan Turki pada tahap tinggi. Kami menerima permintaan untuk menghantar sokongan tambahan termasuk peralatan teknikal dan pegawai tambahan kepada Greece,” kata jurucakap Frontex dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2015, Greece menjadi laluan masuk utama EU untuk sejuta migran yang kebanyakannya melarikan diri daripada konflik berlarutan di Syria. - AFP