LPM mohon KPKT segera lulus peruntukan RM600,000

Rais melihat kerosakan lapisan anti bocor di bahagian siling rumah seorang penduduk di PPR Krubong, pada Ahad.
Rais melihat kerosakan lapisan anti bocor di bahagian siling rumah seorang penduduk di PPR Krubong, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) berharap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempercepatkan kelulusan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Krubong.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, LPM sebelum ini telah mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM600,000 pada Oktober tahun lalu dan sehingga kini masih menunggu kelulusan tersebut.

Menurutnya, ia penting disalurkan bagi memastikan kerja-kerja seperti pembaikan jubin lantai dan lapisan anti bocor dapat dilaksanakan segera membabitkan lebih 70 unit rumah di PPR berkenaan.

"Dalam tempoh tahun 2020 hingga 2022, LPM mengambil tindakan membaiki kerosakan tersebut membabitkan sebanyak 213 unit rumah dengan kos keseluruhan RM1.23 juta.

"Masalah kerosakan masih menghantui penghuni di sini, diharap KPKT meluluskan segera kerja pembaikan secara berterusan di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP)," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Rais ketika meninjau permasalahan di PPR Krubong.
Rais ketika meninjau permasalahan di PPR Krubong.

Terdahulu Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput membuat lawatan di blok kediaman yang mengalami kerosakan di PPR itu.

Jelas Rais, di bawah inisiatif PPP juga, kira-kira RM21 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara PPR dan Rumah Pangsa Awam di negeri ini.

"Bagi memastikan PPR Krubong dan PPR Tehel sentiasa dalam keadaan selesa dan selamat diduduki, LPM telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala.

"Ia termasuk kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan lif dan pemotongan rumput melibatkan kos pembelanjaan berjumlah RM42,832 sebulan," katanya.