ESSCOM kekal relevan, 12 tahun lindungi pantai timur Sabah

ESSCOM masih relevan sebagai benteng keselamatan pantai timur Sabah dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
ESSCOM masih relevan sebagai benteng keselamatan pantai timur Sabah dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
A
A
A

TAWAU - Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) masih relevan sebagai benteng keselamatan pantai timur Sabah dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan selepas 12 tahun diwujudkan sejak 2013.

Penasihat Pertubuhan Pecegahan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, ESSCOM yang ditubuhkan selepas insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu telah memainkan peranan penting menyelaras operasi keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"ESSCOM telah merekodkan kejayaan termasuk mengurangkan kes penculikan untuk tebusan dengan ketara, aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Malah, statistik menunjukkan sebanyak 59 percubaan penculikan berjaya digagalkan sepanjang tempoh 12 tahun selain lebih 16,000 PATI ditahan dalam operasi bersepadu sejak 2013.

"Dalam tempoh sama, lebih 500 bot nelayan asing turut dihalau atau ditahan kerana menceroboh perairan negara," katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ESSCOM yang ke-12 pada Ahad.

Tambah Mohd Zaki lagi, kejayaan itu turut dipacu oleh penggunaan aset berteknologi tinggi termasuk radar dan dron pemantau, selain kerjasama rapat dengan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia melalui rondaan trilateral.

“ESSCOM berjaya memulihkan keyakinan komuniti tempatan dan pelabur terhadap tahap keselamatan di kawasan ESSZone yang sebelum ini dianggap ‘panas’," katanya.

Beliau berkata, walaupun banyak pencapaian diraih, ESSCOM perlu terus diperkasa dengan penambahan aset, latihan taktikal lebih intensif serta penglibatan komuniti sebagai mata dan telinga kepada agensi keselamatan.

"Ancaman keselamatan semakin kompleks. ESSCOM perlu sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan termasuk jenayah siber, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!