Banjir: Larangan rentas sempadan guna pangkalan haram tetap dikuat kuasa esok

PASIR MAS - Polis Kelantan tetap menguatkuasakan arahan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebagaimana yang telah ditetapkan walaupun negeri ini dilanda banjir.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jika dilihat ketika ini semua pangkalan haram telah tiada disebabkan air Sungai Golok melimpah.
"Arahan ini secara automatik berjalan. Tetap diteruskan," katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Sabtu.
Sinar Harian pada 20 November melaporkan Mohd Yusoff menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember ini sebagaimana arahan dikeluarkan.
Menurutnya, pihak polis tetap dengan pendirian sebagai pihak berkuasa untuk meneruskan penguatkuasaan pada tarikh berkenaan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

