'Senarai nama dikenal pasti, sumbangan diberi pada Isnin' - Amirudin

SUBANG JAYA - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan bantuan untuk mangsa letupan paip gas di Putra Heights, akan disalurkan pada Isnin setelah senarai nama mangsa dikenal pasti.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang menyiapkan proses penghantaran bantuan kepada mereka yang terjejas, dengan 100 unit rumah rosak sudah dikenal pasti.
“Kami akan menyalurkan bantuan pada Isnin setelah mengenal pasti senarai nama mangsa. Insya-ALLAH selesai.
"Selain itu, kami juga akan menyediakan penempatan sementara bagi mereka yang memerlukannya,” katanya selepas sesi taklimat bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.
Tambahnya, proses pembaikan atau penggantian rumah yang terjejas akan mengambil masa bergantung pada tahap keselamatan kawasan yang perlu disahkan terlebih dahulu oleh pihak polis.
“Selepas itu, kita akan menggantikan atau memperbaiki rumah tersebut.
"Ia mungkin mengambil sedikit masa bergantung kepada keadaan tempat tersebut. Polis juga perlu mengesahkan ia selamat terlebih dahulu,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa taklimat lanjut akan disampaikan kepada penduduk yang tidak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan mesyuarat dijadualkan pada esok hari.
Sebelum itu, sekumpulan 30 hingga 40 penduduk yang terjejas akibat insiden tersebut melambai dan menyapa Yang di-Pertuan Agong untuk menyuarakan harapan mereka agar bantuan segera disalurkan.
Sultan Ibrahim kemudian mendekati mereka dan mendengar keluhan mereka.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Terdahulu, Amirudin turut mengumumkan bahawa bantuan awal sebanyak RM2,500 dan RM5,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mula disalurkan pada Isnin depan.
Proses pengumpulan data mangsa sedang dijalankan bagi memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
