Tragedi Putra Heights: PM arah bantuan diselaraskan libat MB Selangor, Petronas

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi berkaitan insiden kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Petronas.
Petronas akan diketuai oleh Presidennya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, langkah ini diambil untuk memastikan pengurusan bantuan di lapangan dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
"Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh," kata Perdana Menteri dalam kenyataannya pada Jumaat.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau akan terus memantau perkembangan terkini berkenaan insiden tersebut dan memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dijalankan.
Menurut laporan media, kebakaran yang berlaku pada saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Ia mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran tersebut turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan sekitar 21X24 meter di lokasi kejadian.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi masih boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
