Agong lawat tapak insiden kebakaran gas, santuni mangsa di PPS Putra Heights

Sultan Ibrahim meninjau keadaan mangsa yang turut berada di PKTK susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada pagi Aidilfitri lalu. Foto SINAR HARIAN- MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sultan Ibrahim meninjau keadaan mangsa yang turut berada di PKTK susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada pagi Aidilfitri lalu. Foto SINAR HARIAN- MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SUBANG JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan pusat pemindahan sementara (PPS) kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pada Sabtu.

Baginda tiba pada jam 9.53 pagi dan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna ungu.

Seri Paduka Baginda turut diiringi oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat PKTK kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Sabtu. Baginda memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna ungu. Foto SINAR HARIAN- MOHD HALIM ABDUL WAHID
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat PKTK kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Sabtu. Baginda memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna ungu. Foto SINAR HARIAN- MOHD HALIM ABDUL WAHID

Lawatan itu bertujuan meninjau keadaan mangsa yang turut berada di PKTK susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada pagi Aidilfitri lalu.

Seri Paduka Baginda kemudian dijadualkan meninjau sendiri kawasan 'ground zero' sebelum meneruskan lawatan ke Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights sekitar jam 10.30 pagi.

Selepas itu, Sultan Ibrahim akan melawat PPS di dewan sama untuk bertemu dan beramah mesra dengan mangsa yang masih berlindung di situ.

Di sana, Seri Paduka Baginda akan berkenan menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan kepada ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Mac lalu, kebakaran saluran gas utama milik Petronas Gas Berhad (PGB) yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi di sini telah menjejaskan seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 46 orang daripada keseluruhan 134 mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan masih menerima rawatan di hospital dan klinik.

Daripada jumlah itu, 26 mangsa dirawat di hospital kerajaan termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang manakala 20 mangsa lagi di fasiliti swasta.

Setakat ini, seramai 379 mangsa daripada 97 keluarga direkodkan masih berlindung di PPS, berdasarkan status terkini PPS Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!