Enggan jadi beban kepada anak menantu

KUALA LUMPUR - Seorang pesara bank mengakui selesa hidup berdikari di pusat jagaan warga emas di sini kerana tidak mahu terlalu menyusahkan anak dan menantunya.
Mokhtar Abu Samah, 78, berkata, dirinya sudah menginap di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras di sini 10 tahun dan keputusan sedemikian dibuat secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.
Menurutnya yang juga pernah berkhidmat sebagai komando tentera darat sekitar 70-an, terbit perasaan rindu dalam hati setiap kali menyambut Ramadan atau Syawal kerana dua anaknya masing-masing bekerja jauh di Perth, Australia dan Johor serta memiliki keluarga sendiri.
“Anak-anak zaman dahulu tak sama dengan yang sekarang, mereka banyak kerja dan komitmen juga tinggi. Saya pernah tinggal bersama anak dan menantu, tetapi rasa tak seronok pula.
“Jadi, saya ambil keputusan tinggal di rumah orang-orang tua. Kebiasaannya masyarakat skeptikal bahawa tempat ini untuk letak ibu bapa yang sudah uzur, tetapi saya gembira duduk sini.
“Tiada masalah dari segi penginapan, makanan, layanan pekerja pun baik dan saya ramai kawan- kawan untuk berborak setiap hari,” katanya.
Menurutnya, ada kala keluarganya turut datang menjenguknya di sini,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Selain itu, kata Mokhtar, kehidupannya terasa lebih bermakna apabila dapat beribadah secara berjemaah dengan rakan-rakan, makan pakai terjaga, malah bebas sekiranya ingin keluar beriadah seorang diri.
Tambahnya, meskipun diuji dengan strok ringan pada bahagian kaki kanan sekitar enam bulan lalu, petugas RSK di sini sangat membantu dari segi memberikan rawatan sehinggakan dirinya mampu bergerak seperti biasa hasil senaman setiap hari.
“Alhamdulillah saya dah boleh berjalan asalkan jangan laju. Sebelum ini pun saya aktif mendaki bukit, cuma apabila meningkat usia, aktiviti sebegitu dah kurang buat.
“Kalau dekat sini kami diberi elaun bulanan, bolehlah outing setiap Rabu. Kadang-kadang saya ke bandar seorang diri atau ditemani kawan- kawan. Kemudian balik semula ke pusat jagaan.
“Makanan pun mewah, staf sediakan makan minum enam kali sehari. Jadi, kami memang tak berlapar sepanjang berada di sini,” katanya.
RSK Cheras santuni kebajikan 198 warga emas
KUALA LUMPUR - Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, sebuah institusi kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah menyantuni 198 warga emas dari aspek penjagaan, rawatan, dan perlindungan.
Penguasa RSK, Zamzuri Mohamed berkata, langkah itu diambil bagi memastikan golongan warga emas yang kurang berkemampuan diberikan akses kepada kualiti hidup yang lebih baik serta jaminan kesejahteraan seiring dengan peningkatan usia mereka.

Menurut beliau, mana-mana warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, sama ada secara sukarela atau melalui perintah mahkamah, layak dimasukkan ke pusat jagaan ini.
“Bagi kategori di bawah perintah mahkamah, ia tertakluk di bawah Akta Orang Papa 1977, manakala kemasukan golongan sukarela pula adalah berdasarkan kaedah Pengurusan Orang-Orang Tua 1983,” jelasnya.
“Dari segi statistik, kami tiada data tetap, namun kapasiti kemasukan ke RSK ditetapkan seramai 200 orang, bergantung kepada jumlah kakitangan yang ada.
“Misalnya, jika kami mempunyai seramai 90 orang kakitangan, kemasukan boleh mencecah sehingga 350 warga emas. Pada masa ini, RSK mempunyai 198 penghuni dengan 70 staf,” katanya.
Zamzuri menjelaskan, permohonan kemasukan biasanya dirujuk kepada pejabat JKM setiap daerah, komuniti setempat, atau melalui ahli keluarga terlebih dahulu.
Tambah beliau, kebanyakan kes yang diterima adalah melalui rujukan komuniti, iaitu warga emas yang tinggal sendirian, disisihkan masyarakat, atau dibuang oleh keluarga mereka.
“Bagi kes di mana ahli keluarga menghantar warga emas ke pusat kebajikan, kebanyakannya disebabkan oleh kemiskinan.
“Mereka tidak lagi mampu untuk membantu dari segi kewangan dan penjagaan golongan berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
