Islam mengajar umatnya berbuat ihsan kepada ibu bapa

SHAH ALAM - “Meletakkan ibu bapa di rumah orang tua atau hospital tanpa sebab yang kukuh adalah berdosa.”
Demikian tegas Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang mengatakan Islam mengajar umatnya sentiasa berbuat ihsan kepada ibu bapa iaitu kena buat yang paling baik untuk mereka, namun jika kita tidak ada penyelesaian yang tak dapat dielakkan, tidak boleh berbuat apa-apa.
“Tetapi, jika sebaliknya... sudah tentu berdosa, kerana kita diajar oleh agama untuk berbuat baik kepada mereka. Adakah meletakkan mereka di rumah orang tua, hospital itu paling baik? Tentulah kita cuba nak melepaskan tanggungjawab sahaja.
“Kita semua kena tahu, tidak akan wujudnya kita, jika mereka tak wujud,” ujarnya ketika dihubungi.
Tambah beliau, al-Quran mengajar tentang konsep ‘birrul walidain’, iaitu berbuat baik kepada ibu bapa, termasuk menjaga, memastikan keperluan dipenuhi dan memberikan kasih sayang tanpa syarat.
“Seorang ibu boleh membesarkan 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu.
“Jadi, jangan sesekali menderhaka kepada kedua ibu bapa. Kita dikehendaki eratkan silaturahim, bukan memutuskan silaturahim,” kata beliau.
Jelas beliau lagi, ibu bapa adalah individu paling utama dalam kehidupan seorang anak selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sementara itu, menurut Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, antara faktor utama yang mendorong perlakuan tidak berperikemanusiaan itu termasuklah cabaran menjaga warga emas serta kesukaran mengatur jadual penjagaan.
Menurut beliau, jika isu ini tidak ditangani segera, ia dikhuatiri akan melahirkan lebih ramai ‘Si Tanggang moden’ yang sanggup melepaskan tanggungjawab demi keselesaan sementara.
“Kita akui, menjaga warga emas bukan satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai masalah kesihatan. Ada kalanya mereka tiada selera makan, sukar bergerak dan bergantung kepada orang lain dalam banyak perkara.
“Mungkin disebabkan itu, penjaga menghadapi kesukaran untuk mengatur pergerakan dan akhirnya, memilih jalan mudah menghantar ibu atau bapa ke rumah perlindungan orang-orang tua atau hospital,” katanya ketika dihubungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

