'Saya lari dari rumah kerana tak tahan anak pukul'

IBU bapa sepatutnya disayangi dan dijaga dengan baik sebagaimana mereka melakukan perkara sama terhadap anak-anak.
Bagaimanapun, saat usia menjengah senja dan kudrat semakin terbatas ada segelintir insan bergelar anak tega mengabaikan tanggungjawab menghantar orang tua mereka ke rumah jagaan seolah-olah ibu dan ayah merupakan suatu beban.
Lebih memilukan ada penghuni rumah jagaan yang tidak pernah dikunjungi anak-anak selama bertahun-tahun, malah tidak tahu nasib mereka selepas itu.
Laporan khas ini mengetengahkan realiti semasa masyarakat moden hari ini menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua sebagai ‘destinasi terakhir’ sebelum mereka pergi menghadap Ilahi.
-----------------------------------------
KUALA LUMPUR - Kehidupan salah seorang penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) bagaikan tiada sinar bahagia apabila diuji dengan pemergian ibu selepas dirinya dilahirkan, menumpang ihsan jiran, mempunyai masalah penglihatan sejak tujuh tahun, suami meninggal dunia dan anak tunggal lelaki panas baran.
Bukan itu sahaja, tubuh warga emas berkenaan pernah diterajang dan pipinya dilempang berkali-kali gara-gara enggan menghulurkan wang saku kepada anaknya untuk membeli dadah, bahkan duit hasil kelapa sawit berkeluasan 10 ekar juga dikebas sehingga licin.
Demikian luah ibu tunggal, Maryam (bukan nama sebenar) yang hidup sebatang kara sejak kecil dan kini sudah tiga tahun menghuni rumah jagaan warga emas di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Maryam berkata, sikap anak yang kerap melampiaskan amarah dan kuat membentak membuatkan dirinya nekad memohon bantuan daripada JKM Maran, Pahang dan lari dari kampung tanpa pengetahuan sesiapa kecuali anak angkat sebelah rumah.
Jelas nenek berusia 84 tahun itu, kehidupannya di pusat jagaan orang tua lebih selamat, malah keputusan untuk lari menyelamatkan diri adalah yang terbaik dan tidak timbul penyesalan sama sekali.
"Suami saya dah meninggal dunia belasan tahun lalu dan saya ada empat cucu. Sekarang cucu perempuan pula ikut perangai ayahnya bawa balik lelaki ke rumah saya, disebabkan tak mahu subahat saya mengadu ke JKM Maran.
"Kemudian, saya fikir lebih baik tinggal di rumah orang tua-tua, semuanya diuruskan oleh pegawai JKM Maran dan anak angkat. Dia sajalah yang ambil peduli dan sudi datang jenguk, anak kandung 'buang' saya.
"Saya lari ketika dia tidur, jadi mungkin sampai hari ini dia tak tahu saya ada di mana. Jiran-jiran tahu perangainya macam mana dan mereka nasihat lebih baik jangan pulang kampung. Sekarang mesti rumah pusaka di kampung sudah reput," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Menceritakan kisah hidup dengan nada sebak dan tersekat-sekat, Maryam yang berasal dari Temerloh memaklumkan, anaknya langsung tidak berusaha mencarinya sejak tiga tahun lepas, bahkan dia merasa seolah-olah 'dibuang' seperti sampah.
Tambahnya, meskipun dikelilingi kawan sebilik dan petugas rumah jagaan yang baik, dia sering tercari-cari sosok saudara-mara terdekat untuk bersandar serta mengadu nasib.
"Nak cerita pun tak terluah, sedih sangat. ALLAH SWT beri ujian yang cukup berat daripada saya kecil sehingga tua. Bahkan saya terpaksa buang bebola mata kiri baru-baru ini selepas menanggung kesakitan selama lebih 70 tahun.
"Baru-baru ini juga, saya jatuh dan tulang paha patah. Kehidupan saya memang tak indah sejak kecil lagi," ujarnya.
Ditanya mengenai sambutan raya tidak lama lagi, Maryam memberitahu, rutin setiap kali meraikan Aidilfitri sama sahaja misalnya penghuni mengerjakan solat sunat berjemaah, makan dan pulang ke bilik masing-masing.
"Macam orang lain, ada yang keluarga datang dan ajak beraya. Tetapi, saya tak dapat rasa momen sebegitu dengan keluarga kandung, cuma kadang-kadang anak angkat jenguk bawa makanan," katanya sebak.
-----------------------------------------
KISAH 2
Anak kandung menghilang, anak angkat tempat bergantung
CHERAS - “Anak kandung hasil perkahwinan isteri pertama tidak peduli keadaan saya, sekarang hanya anak angkat melalui perkahwinan kedua sahaja menjadi tempat bergantung harap.”Demikian luah seorang penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), Cheras Jamali, 75, (bukan nama sebenar) yang menceritakan nasib ditempatkan di pusat jagaan warga emas ekoran tiada seorang pun sudi menjaga kebajikannya.
Jamali berkata, hubungan isteri pertama hanya bertahan 11 tahun lalu bercerai manakala isteri kedua selama 23 tahun, namun meninggal dunia akibat kanser payudara.

“Dengan isteri kedua memang tiada zuriat sepanjang 23 tahun, tetapi ada anak angkat. Dialah yang selalu hubungi dan jenguk saya, ahli keluarga lain tak sanggup nak jaga kerana tanggungan ramai.
“Namun, saya bersyukur sepanjang lima tahun tinggal di sini ada yang tolong tengok-tengokkan. Kalau saya dibiar jadi gelandangan tepi jalan atau bawah jambatan, sakit pening kita siapa nak jaga?
“Lagi pula saya ada penyakit kencing manis, lemah jantung, semput dan macam-macamlah. Alhamdulillah... boleh dikatakan kehidupan di sini lebih baik berbanding hidup sendiri di luar sana,” katanya kepada ketika ditemui pada Khamis.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Jamali yang berasal dari Segamat, Johor berkata, sudah menjadi kebiasaan setiap tahun pusat jagaan berkenaan menganjurkan rumah terbuka buat penghuni.
Bagaimanapun, katanya, sambutannya tidak semeriah berada di samping keluarga kerana masing-masing akan pulang ke bilik dan sambung berehat sepanjang hari.
“Selepas makan, kami balik ke bilik dan tidur kecuali jika ada keluarga penghuni lain datang melawat, mereka akan jamu makan sekali.
“Apabila teringat kenangan bersama isteri kedua, air mata bergenang terutama mengingatkan menikmati juadah kegemaran kami iaitu sate,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

