'Afifah tidak lagi seaktif dulu'

GURUN - Ketika kebanyakan keluarga lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, sebuah keluarga di Kampung Pulai Cengai di sini hanya mampu melihat dengan penuh kesayuan.
Bagi Ratsanari Diwi Hamid, 45, dia dan suami, Mohamad Fazil Md Dzahid, 50, sambutan hari raya tahun ini jauh berbeza kerana anak bongsu mereka, Afifah, 10, hanya kaku terbaring di katil akibat ketumbuhan otak.
“Sebelum ini, Afifah seorang kanak-kanak aktif dan ceria. Namun, sejak Januari lalu, nasibnya berubah apabila hilang upaya untuk bercakap, berjalan dan melihat selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian cecair serta tumor di kepala.
“Dulu setiap kali menunggu waktu berbuka puasa, Afifah paling sibuk membantu saya di dapur dan ada saja celotehnya membuatkan saya terhibur. Namun sekarang semuanya hanya tinggal memori,” katanya.

Menurutnya, Afifah mula menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit itu sejak berusia dua tahun apabila anak matanya lari sedikit dan kepalanya sering bergoyang.
Keadaannya semakin memburuk ketika berusia enam tahun sehingga terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
“Doktor mengesahkan Afifah menghidap glioma saluran optik dua hala iaitu sejenis ketumbuhan otak yang menjejaskan sistem saraf penglihatannya. Sepanjang tahun 2021 dan 2023, Afifah menjalani 26 sesi kemoterapi dan 15 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Namun, selepas pembedahan pada awal Januari lalu, kesihatannya merosot dan kini, selain tidak boleh bercakap dan bergerak, Afifah juga mengalami kekejangan tangan,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan tersebut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Nurul Awatif Mohamad Fazil, 15, yang menetap di asrama sekolah agama di Sungai Petani.
“Dalam keadaan sebegini, kami tidak terlalu memikirkan soal sambutan Hari Raya Puasa kerana wang yang ada digunakan untuk membeli susu khas berharga RM90 satu tin dan mampu bertahan dua hari serta lampin pakai buang.
“Suami pula hanya bekerja kampung serta tidak mempunyai pendapatan tetap dan bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400 sebulan digunakan sepenuhnya untuk keperluan Afifah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

