Mangsa bencana gempa Myanmar terus sengsara

Gegaran kuat itu meranapkan banyak struktur dan ramai mangsa dipercayai mati tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Foto AFP
Gegaran kuat itu meranapkan banyak struktur dan ramai mangsa dipercayai mati tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Foto AFP
A
A
A

SAGAING - Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda tengah Myanmar pada 28 Mac lalu terus meningkat, melepasi 3,000 sehingga Khamis.

Gegaran 7.7 pada skala Richter itu menggoncang kawasan berhampiran Sagaing, meranapkan bangunan dan menyebabkan kemusnahan teruk di beberapa wilayah utama.

Antara kawasan paling terjejas termasuk Sagaing, Mandalay, Naypyidaw dan Shan yang turut mengalami kebinasaan infrastruktur akibat bencana tersebut.

Komuniti terjejas gempa beratur untuk menerima bantuan. Foto AFP
Komuniti terjejas gempa beratur untuk menerima bantuan. Foto AFP

Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 4,700 orang dilaporkan cedera manakala 341 masih hilang setakat ini.

Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan bergelut untuk mendapatkan bekalan asas seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan berikutan akses yang terhad.

Beberapa struktur termasuk kuil yang separa rosak di Mandalay. Foto AFP
Beberapa struktur termasuk kuil yang separa rosak di Mandalay. Foto AFP

Cuaca panas melampau dan hujan luar musim dijangka memburukkan lagi keadaan serta meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti kolera dan denggi.

Ketika ini, beberapa hospital utama di Mandalay dan Naypyidaw turut dilaporkan mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Anggota Palang Merah Indonesia (PMI) mengangkat kotak bantuan selepas upacara pelepasan misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta. Foto AFP
Anggota Palang Merah Indonesia (PMI) mengangkat kotak bantuan selepas upacara pelepasan misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta. Foto AFP

Sejak seminggu lalu, sukarelawan dan pasukan penyelamat tempatan bersama negara antarabangsa berdepan kesukaran untuk menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas akibat jalan runtuh dan jambatan rosak.

Jambatan Ava yang berusia hampir satu abad dilaporkan runtuh, menjejaskan laluan utama antara Sagaing dan Mandalay.

Susulan situasi yang semakin meruncing, pemerintah junta dan kumpulan pemberontak utama sepakat mengumumkan gencatan senjata sementara bagi menjayakan misi bantuan.

Seorang sami merakam gambar Jambatan Ava merentasi Sungai Irrawaddy yang runtuh akibat gempa dahsyat itu. Foto AFP
Seorang sami merakam gambar Jambatan Ava merentasi Sungai Irrawaddy yang runtuh akibat gempa dahsyat itu. Foto AFP

Namun, terdapat laporan pertempuran masih berlaku di beberapa kawasan, menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan tempoh bertenang tersebut.

Ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Bangkok untuk membincangkan bantuan pasca gempa.

Langkah itu bagaimanapun dikritik oleh kerajaan bayangan dan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa junta cuba memanipulasi situasi untuk kepentingan politik.

Kebanyakan mangsa kini berlindung di tepi jalan kerana bimbang dengan gempa susulan. Foto AFP
Kebanyakan mangsa kini berlindung di tepi jalan kerana bimbang dengan gempa susulan. Foto AFP

Ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher dijadualkan tiba di Myanmar bagi menilai situasi sebenar dan menyelaras bantuan antarabangsa setelah beberapa negara turut menghantar bantuan kepada negara bergolak tersebut.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menggesa masyarakat antarabangsa agar mempercepatkan penghantaran bantuan tanpa sebarang halangan birokrasi.

Operasi menyelamat dan usaha pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang susulan tahap kemusnahan serta krisis kemanusiaan yang terus menghimpit negara itu sejak kudeta pada 2021. - Agensi

Program Makanan Sedunia (WFP) antara agensi bantuan antarabangsa yang membantu penduduk di Sagaing.
Program Makanan Sedunia (WFP) antara agensi bantuan antarabangsa yang membantu penduduk di Sagaing.

Pengguna lalu lintas melalui retakan besar di sepanjang Jalan Myo Patt yang menghubungkan Mandalay dan Sagaing. Foto AFP
Pengguna lalu lintas melalui retakan besar di sepanjang Jalan Myo Patt yang menghubungkan Mandalay dan Sagaing. Foto AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!