Penduduk tanam ratusan pokok pisang di jalan rosak

Penduduk muafakat menanam pokok pisang di jalan yang rosak.- Foto: Agensi
Penduduk muafakat menanam pokok pisang di jalan yang rosak.- Foto: Agensi
A
A
A

JAWA BARAT – Puluhan penduduk dari tiga kampung iaitu Kampung Nglebur, Janjang, dan Blebon di daerah Jiken, Blora, mengambil peluang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri untuk mengadakan protes dengan menanam ratusan pokok pisang di sepanjang jalan rosak yang terbentang sejauh 10 kilometer.

TvOne melaporkan tindakan yang dilakukan penduduk pada Rabu lalu itu, merupakan manifestasi kekecewaan mereka terhadap keadaan jalan raya yang masih tidak dibaiki meskipun pelbagai janji telah ditabur oleh pihak berkuasa tempatan.

Sebagai simbol protes, mereka turut mengibar sepanduk yang tertera tulisan mendukung program ketahanan makanan yang dilaksanakan kerajaan Indonesia, dengan memanfaatkan jalan rosak untuk dijadikan sebagai kebun pisang.

Penduduk mendakwa bahawa mereka sudah bosan menunggu pelbagai janji yang ditabur oleh pihak bupati, namun sehingga kini, keadaan jalan masih lagi tidak rosak kerana tidak dibaiki.

“Penduduk sudah penat menunggu janji-janji itu, kerana jalan dari Cabak ke Bleboh sudah sangat teruk,” ujar seorang penduduk, Ngatmin kepada wartawan pada Rabu.

Susulan itu, penduduk berharap agar dengan adanya tindakan ini, pihak berkuasa akan segera memberi perhatian kepada masalah tersebut dan memperbaiki jalan yang telah sekian lama menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Dalam pada itu, pihak pentadbiran Daerah Blora memaklumkan bahawa peruntukan bernilai bilion rupiah telah disediakan bagi projek pembaikan jalan tersebut dan ia dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun ini.- Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!