Waris mangsa dihempap pokok tumbang ketika solat sunat Aidilfitri dicari

JAKARTA – Kementerian Sosial (Kemensos) kini giat mengenal pasti waris kepada mangsa yang terkorban dalam insiden pokok tumbang di Alun-Alun Pemalang, Jawa Tengah, yang berlaku ketika para jemaah sedang bersiap menunaikan solat sunat Aidilfitri pada Isnin.
Menteri Sosial, Saifullah Yusuf berkata, beberapa langkah sedang diambil bagi menangani insiden berkenaan, khususnya bagi membantu mangsa yang terlibat.
Antara tindakan segera yang diambil termasuk berkoordinasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pasukan Taruna Siaga Bencana (Tagana) di kawasan terbabit bagi mendokumentasikan maklumat mangsa.
“Kami sedang mengesan keberadaan waris kepada mangsa yang meninggal dunia dan juga yang cedera untuk penyaluran bantuan,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Direktorat Perlindungan Sosial Mangsa Bencana Alam (PSKBA) Kemensos, insiden tersebut berlaku secara mengejut walaupun ketika itu keadaan cuaca dilaporkan cerah tanpa sebarang tiupan angin kencang.
Menurut keterangan beberapa saksi, tiada sebarang kejadian luar biasa sebelum pokok tumbang secara tiba-tiba.
Jemaah hanya mula panik selepas terdengar bunyi dari pokok yang menunjukkan ia bakal tumbang, menyebabkan ramai yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, beberapa individu tidak sempat melarikan diri dan tertimpa pokok berkenaan.
Insiden tragis itu mengorbankan tiga nyawa. Seorang mangsa mengalami kecederaan parah, manakala 15 individu lain dilaporkan cedera ringan. - CNN Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

