[VIDEO] Teori awal letupan gas perlukan pencetus

A
A
A

SUBANG JAYA – Letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu dipercayai hanya boleh berlaku sekiranya terdapat tiga elemen utama iaitu gas, udara dan pencetus api (ignition), kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurut beliau, hasil penjelasan daripada pihak bomba dan pakar teknikal, kebocoran gas sahaja tidak mencukupi untuk mencetuskan letupan tanpa adanya unsur pencetus seperti percikan api atau haba tinggi.

“Kalau gas bocor tetapi tiada pencetus api, letupan tidak akan berlaku. Jadi siasatan kami juga tertumpu kepada kemungkinan wujudnya sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pencetus tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights pada Jumaat.

Hussein berkata, setakat ini Petronas memaklumkan tiada sebarang kebocoran dikesan melalui sistem sensor tekanan yang dipasang di sepanjang laluan paip gas berkenaan.

Hussein Omar Khan - Foto: Bernama
Hussein Omar Khan - Foto: Bernama

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan letupan dilaporkan masih tidak stabil dan kerja-kerja siasatan penuh belum dapat dilakukan.

“Tanah di kawasan kejadian masih lembik dan kawah letupan dipenuhi air akibat hujan.

"Proses untuk menstabilkan struktur tanah dan mengeringkan kawasan sedang dijalankan sebelum pasukan teknikal dibenarkan masuk,” jelasnya.

Hussein berkata, hanya selepas keadaan benar-benar stabil, barulah pasukan siasatan dapat melakukan kerja ekskavasi dan mengenal pasti bukti fizikal secara langsung, termasuk sisa paip, bahan pencetus atau elemen lain yang boleh mengesahkan punca sebenar letupan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihaknya turut menerima beberapa rakaman video daripada media sosial serta kamera GoPro milik saksi awam yang berada di lokasi semasa kejadian.

“Rakaman ini sedang diteliti untuk mengenal pasti individu, pergerakan atau aktiviti yang berlaku sebelum dan semasa letupan. Sebahagian video telah dikenal pasti dan digunakan untuk mengesan saksi-saksi penting,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!