Kebakaran saluran gas: Jawapan siasatan awal jadi perhatian hari ini

KUALA LUMPUR – Insiden kebakaran besar melibatkan paip gas milik Petronas di Putra Heights pada 1 April lalu dijangka memasuki fasa penting hari ini apabila Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dijadual mengumumkan hasil siasatan awal.
Orang ramai khususnya mangsa tragedi pastinya menanti penjelasan rasmi sama ada kebakaran itu berpunca daripada aspek teknikal, kecuaian atau melibatkan unsur jenayah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang akhbar pada Khamis memaklumkan siasatan teknikal dikendalikan oleh JKR, JKKP, Petronas serta agensi berkaitan, manakala PDRM meneliti kemungkinan wujud kecuaian atau kesalahan jenayah.
Polis setakat ini telah menerima 108 laporan berhubung kejadian, termasuk dakwaan terdapat aktiviti mengorek tanah berhampiran saluran paip gas sebelum letupan berlaku.
Beberapa pihak seperti pemaju, agensi tempatan dan individu berkaitan telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, Amirudin turut memaklumkan seramai 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dikenal pasti terjejas, dengan 630 orang kini ditempatkan di dua PPS sementara bakinya menumpang di kediaman saudara-mara.
Sebanyak 87 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala 148 lagi mengalami kerosakan separa dan masih boleh dihuni.
Dua mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di ICU Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur akibat terhidu asap tebal.
Petronas turut mengesahkan saluran paip yang terbakar telah diasingkan serta menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menentukan punca sebenar insiden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan awal berjumlah RM2,500 dan RM5,000 kepada semua mangsa yang akan mula disalurkan mulai Isnin depan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri kini melengkapkan data penerima untuk tujuan itu.
Siasatan awal yang bakal diumumkan hari ini dijangka menjawab persoalan besar yang bermain dalam fikiran rakyat.
Sekiranya wujud unsur kecuaian atau pengabaian prosedur keselamatan, tindakan tegas perlu diambil.
Tragedi ini tidak boleh dianggap sebagai kemalangan semata-mata nyawa dan keselamatan orang awam mesti diutamakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

