Warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer (KM) 12, Jalan Johor Bahru - Air Hitam (arah Johor Bahru), awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, mangsa berusia 72 tahun dilanggar sebuah kereta jenis Proton Iriz setelah melepasi tembok penghadang di lokasi kejadian.
“Polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 6.24 pagi. Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa melintas jalan secara tiba-tiba selepas melepasi tembok penghadang.
“Bagaimanapun, dia telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun, dipercayai dalam perjalanan dari arah Skudai ke Johor Bahru.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu dan membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam bin Aziz di talian 019-7432966.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
