Warga emas maut kemalangan dengan kereta
KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 15, Jalan Kuantan-Maran di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Mohd Mohd Amin, 88, beralamat dari Kampung Pandan Dua di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Nissan Almeera dipandu guru wanita berusia 29 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Modenass 110 ditunggang warga emas itu keluar dari lorong kecil sebelah kiri jalan lalu masuk ke laluan utama.
"Pemandu kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa bersama motosikalnya," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, akibat kejadian mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Sampel darah dan air kencing mangsa diambil untuk tujuan toksikologi," ujarnya.
Sementara itu katanya, pihak polis sedang mengesan saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!