'Tiada lagi masakan isteri, harap anak-anak tak lupa saya'

SEREMBAN – Kurang iman menyebabkan seorang bapa kepada enam anak terjerumus dalam jenayah seksual yang membawa hukuman 14 tahun penjara berserta lapan sebatan.
Lee, 60, dari Gurun, Kedah berkata, dia yang menjalani hukuman sejak 2014 mengaku menyesal dengan perbuatan itu dan telah melakukan taubat nasuha serta memohon pengampunan daripada Allah SWT.
Menurutnya, sepanjang menjalani hukuman, masanya banyak dihabiskan di surau untuk mendalami ilmu agama.
“Disebabkan duduk dalam penjara tidak boleh buat kerja kerana usia sudah lanjut, jadi masa saya banyak dihabiskan di surau belajar agama bersama banduan lain.
“Insya-ALLAH apabila bebas nanti saya hanya mahu fokus kepada ibadah dan pada masa sama meneruskan kehidupan dengan berniaga kerana sebelum ini saya berniaga ayam di pasar dan pasar malam,” katanya kepada Sinar Harian.
Bapa kepada enam anak itu yang sedang menjalani baki hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin berkata, dia merindui kehidupan di luar, terutama masa bersama keluarga dan rakan.
“Ramai kawan-kawan yang dah tiada, begitu juga isteri yang meninggal dunia dua tahun lalu. Saya dah tak dapat rasa masakan dia, masa dia sakit pun saya tak dapat melawat.
“Musim raya lagi lah sedih sebab berjauhan daripada keluarga. Saya harap anak-anak tak lupakan saya. Saya yakin mereka akan terima saya. Hubungan kami baik saja, cuma mereka tak dapat melawat kerana jauh, tapi ada mengirim wang jika saya memerlukan,” katanya.
Datuk kepada tiga cucu itu juga memaklumkan telah memohon maaf kepada mangsa sebelum individu tersebut meninggal dunia akibat paru-paru berair ketika dia masih menjalani hukuman.
Dia yang dijangka keluar awal menjelang pertengahan tahun depan berharap masyarakat tidak memandang serong kepada pesalah sepertinya yang telah menjalani hukuman, dan memohon sokongan orang ramai untuk berubah menjadi lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

