Faktor genetik penyumbang umur panjang cecah 100 tahun

SHAH ALAM - Faktor genetik dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada umur panjang dalam kalangan golongan centenarian iaitu individu yang mencapai usia 100 tahun ke atas.
Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Intan Aidura Alias berkata, individu yang mewarisi genetik daripada keluarga berusia panjang berpotensi untuk hidup lebih lama.
“Genetik memainkan peranan besar dalam menentukan jangka hayat seseorang. Ini kerana faktor ini diwarisi dalam keluarga. Sekiranya mereka mempunyai adik-beradik yang umurnya mencecah 100 tahun, maka dia juga berpotensi untuk hidup lama.
“Selain itu, faktor epigenetik melibatkan gaya hidup dan persekitaran turut mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, selain faktor keturunan, amalan gaya hidup sihat secara berterusan juga dilihat menjadi penyumbang kepada golongan yang mencapai usia 100 tahun ke atas.
“Kajian menunjukkan lelaki di Amerika Syarikat yang melakukan aktiviti bertani pada usia 40-an mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding mereka yang tidak aktif.
“Bagi wanita pula, penglibatan dalam aktiviti kesihatan dan sosial seperti mendengar radio membantu mengekalkan kecergasan tubuh serta kesihatan mental,” jelas beliau.
Menurutnya, pemakanan sihat seperti amalan diet mediterranean yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein turut menyumbang kepada tahap kesihatan golongan berusia.
“Pengambilan makanan seimbang membekalkan zat penting kepada tubuh sekali gus mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.
“Diet ini juga membantu mengekalkan berat badan ideal dalam menyokong fungsi organ tubuh,” ujarnya.
Intan Aidura berkata, amalan kerohanian seperti solat, doa dan zikir turut memberi kesan kepada kesihatan mental golongan warga emas.
“Amalan kerohanian mampu menghidupkan jiwa dan membuatkan seseorang lebih tenang serta menjauhi amalan tidak sihat.
“Zikir juga membantu meningkatkan tahap kesabaran dan mengurangkan tekanan dengan menenangkan sistem saraf badan,” jelasnya.
Intan Aidura bagaimanapun berpendapat, hidup sebagai warga emas berusia 100 tahun bukanlah mudah apabila mereka berdepan pelbagai cabaran dari segi fizikal, mental dan sosial.
“Golongan ini berdepan kesukaran bergerak, mengalami masalah deria seperti penglihatan dan pendengaran yang semakin lemah serta bergantung kepada orang lain,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
