Usia 100 tahun masih aktif bertarawih di masjid

Di usia 100 tahun, Abdul Hamid masih mampu berpuasa dan mengerjakan solat terawih di masjid.
Di usia 100 tahun, Abdul Hamid masih mampu berpuasa dan mengerjakan solat terawih di masjid.
A
A
A

KUBANG PASU - Usia bukan penghalang bagi Abdul Hamid Abu, 100, untuk terus istiqamah dalam berpuasa dan melaksanakan ibadah terutama di bulan Ramadan.

Bekas pegawai imigresen yang berasal dari Kampung Rawa, Changlun itu masih bersemangat mengerjakan solat tarawih di Masjid Ihya’ulumuddin Pekan Changlun di sini sepanjang Ramadan.

Abdul Hamid berkata, dia kini menetap bersama anak keempatnya di Kampung Padang Halban dan hanya terlepas satu malam solat tarawih kerana kurang sihat.

Selebihnya, beliau tetap hadir ke masjid, bukan sahaja untuk bertarawih, tetapi juga untuk berbuka puasa bersama jemaah dan membaca al-Quran.

Abdul Hamid (kanan) sering menyertai jemaah lain berbuka puasa di masjid sepanjang Ramadan.
Abdul Hamid (kanan) sering menyertai jemaah lain berbuka puasa di masjid sepanjang Ramadan.

“Alhamdulillah, walaupun dah 100 tahun, kesihatan saya masih baik. Tak ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain. Cuma pendengaran kurang sikit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, kecergasan dan kesihatannya berkait rapat dengan gaya hidup sihat yang diamalkan sejak muda yang gemar berkebun dan sangat menjaga pemakanan.

“Saya suka berkebun sejak dari muda lagi, cuma sejak kebelakangan ini, baru saya upah orang untuk bersihkan kebun. Kalau tidak, semua saya buat sendiri selagi terdaya.

“Saya juga tak suka makanan manis, juadah hari raya pun saya suka kuih orang lama seperti bahulu berbanding kuih raya moden zaman sekarang,” kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Jelas anak sulung dari tiga beradik ini, setiap kali pagi raya, sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, dia akan menjamah sedikit ketupat palas dan serunding daging yang merupakan juadah kegemarannya.

“Dua menu ini adalah juadah yang wajib ada setiap kali hari raya.

"Kemudian selepas solat saya akan beraya dengan anak dan cucu cicit di rumah,” ujarnya yang mempunyai enam anak dan lebih 20 cicit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!