Rezeki hasil jual ikan pekasam

JELEBU – Meskipun menggunakan kaki palsu, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) tetap cekal mencari rezeki dengan menghasilkan dan menjual ikan pekasam.
Mohd Azri Abd Aziz, 45, dari Kampung Sungai Buloh di sini kehilangan kaki kanan selepas terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis pada tahun 2020.
Namun, dia enggan berdiam diri dan terus berusaha mencari rezeki dengan menghasilkan ikan pekasam menggunakan resipi turun-temurun keluarganya yang berusia lebih 70 tahun.
“Ikan pekasam saya ini diperam dengan garam kasar dan asam keping selama seminggu. Kaedah ini berbeza sedikit dengan tempat lain yang menggunakan beras sangai.
“Saya hanya menggunakan ikan lampam sungai yang banyak terdapat di Sungai Triang berhampiran Kampung Sungai Buloh untuk membuat pekasam.
“Semua ikan saya tangkap sendiri sama ada dengan memancing atau menggunakan jala,” katanya yang turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Azri berkata, biasanya ikan pekasam tersebut dijual dalam kawasan kampung dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Dalam sebulan, saya mampu menjual sekitar 20 kilogram ikan pekasam, namun jumlah tersebut bergantung kepada hasil tangkapan ikan dan tahap kesihatan saya.
“Harga pekasam yang saya jual hanyalah RM10 sebungkus, yang mengandungi empat atau lima ekor ikan bergantung kepada saiznya.
“Alhamdulillah, hasil jualan saya dianggarkan sekitar RM350 sebulan bergantung kepada bekalan ikan,” jelasnya.
Mohd Azri bagaimanapun berkata, kaki palsu yang merupakan sumbangan Ahli Parlimen Jelebu dan mula dipakai sejak tahun 2022 kini semakin rosak kerana kerap digunakan untuk kerja lasak mencari ikan.
INFO
- Ikan pekasam adalah sejenis makanan tradisional yang terdiri daripada ikan yang diawet menggunakan proses fermentasi dengan garam dan beras sangai dan juga asam keping sebagai pilihan. Proses pembuatan ikan pekasam melibatkan:
- Pemilihan ikan – Biasanya ikan air tawar seperti ikan lampam, sia, loma sepat atau puyu digunakan.
- Perapan garam – Ikan dibersihkan dan diperap dengan garam untuk beberapa hari.
- Peram dengan beras sangai – Ikan yang telah diasinkan kemudian dicampur dengan beras yang telah disangai (dipanggang tanpa minyak) dan dibiarkan diperam selama beberapa minggu untuk mendapatkan rasa masam yang khas.
- Penyimpanan – Setelah diperam, ikan pekasam boleh disimpan dalam tempayan atau bekas kedap udara sebelum dimasak.
- Biasanya, ikan pekasam digoreng hingga garing dan dimakan bersama nasi panas, kadangkala dengan tambahan bawang, cili, atau perahan limau untuk menambah rasa.
- Rasanya yang masam, masin, dan sedikit berbau menjadikannya hidangan yang unik dan digemari oleh ramai orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
