Lelaki Orang Asli parah diserang beruang matahari

IPOH - Seorang lelaki Orang Asli parah selepas diserang beruang matahari dalam kejadian di Kampung Sungai Sinju dekat Simpang Pulai, Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, Alang Apok Sitam, 68, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, mengikut laporan mangsa diserang ketika bersendirian mencari hasil hutan seperti herba dan akar kayu.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di muka kini berada dalam keadaan stabil.
"Berdasarkan laporan itu, kakitangan Perhilitan telah turun membuat pemantauan dan kita menasihatkan penduduk agar tidak masuk ke hutan bersendirian," katanya di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kejadian berlaku di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta yang menjadi habitat semula jadi hidupan liar terbabit.
"Ini merupakan kejadian pertama dilaporkan berlaku di hutan simpan tersebut.
"Jabatan akan membantu membuat permohonan Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
