Kebakaran saluran paip gas: 20 agensi mula siasatan

Pasukan siasatan dan penyelamat memulakan taklimat di hari kedua, apda Rabu, berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Pasukan siasatan dan penyelamat memulakan taklimat di hari kedua, apda Rabu, berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, dilaksanakan pada Rabu.

Difahamkan, 20 agensi terlibat dalam operasi itu, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya memulakan beberapa gerak kerja utama, termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas akibat letupan paip gas tersebut.

Tambahnya, satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan insiden kebakaran.

"Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung pendawaian elektrik, khususnya yang terdedah. Kita akan menilai sama ada pendawaian itu selamat atau memerlukan tindakan lanjut bagi membolehkan penyambungan segera dilakukan di kawasan terbabit," katanya pada Rabu.

Pasukan petugas berada di lokasi kejadian pada hari kedua.
Pasukan petugas berada di lokasi kejadian pada hari kedua.

Nor Hisham turut memaklumkan bahawa JBPM memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk terlibat.

“Dari segi keselamatan, kita akan meneliti struktur rumah-rumah yang terbakar dan terkena letupan. Jika didapati tidak selamat atau membahayakan, kerja-kerja meruntuhkan struktur seperti bumbung akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Ibu Pejabat bagi mempercepatkan siasatan serta memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi yang terlibat bagi menjalankan siasatan serta tindakan susulan di lokasi kejadian.

Tenaga Nasional Berhad antara agensi terlibat dalam pemantauan di lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Tenaga Nasional Berhad antara agensi terlibat dalam pemantauan di lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Setakat jam 9.30 pagi, tinjauan Sinar Harian mendapati puluhan penduduk yang terjejas sudah berkumpul di lokasi kejadian.

Selain itu, kira-kira 30 petugas media turut berada di lokasi untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Sebelum ini, seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Heights serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

Dalam insiden yang berlaku pada Selasa, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi.

Balai bantuan yang terlibat dalam operasi pemadaman termasuk BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.

Kebakaran tersebut melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!