Polis siasat dakwaan kerja korek tanah punca kebakaran

PUCHONG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat punca sebenar kejadian kebakaran saluran paip gas sepanjang 500 meter di Putra Heights, di sini, termasuk dakwaan berlakunya kerja-kerja pengorekan tanah di kawasan rizab Petronas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu akan bermula pada Rabu kerana tumpuan utama pihak keselamatan pada hari kejadian lebih kepada usaha memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas juga akan menjalankan pemeriksaan bagi menentukan punca sebenar insiden tersebut.
"Kami menerima semua maklumat, termasuk dakwaan berlakunya kerja-kerja pengorekan tanah di kawasan ini sehingga menyebabkan kebakaran.
"Kami akan menyiasat semua dakwaan itu, dan jika benar terdapat aktiviti berkenaan, kami (polis) mahu mengetahui pihak yang bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa buat masa ini, fokus utama adalah menyelamatkan semua mangsa terlebih dahulu sebelum siasatan lanjut dimulakan pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
