Siasatan terperinci, telus kenal pasti punca kebakaran saluran paip - Mat Sabu

SHAH ALAM - Menteri Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan rasa dukacita dan solidariti penuh terhadap semua mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Puchong pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, insiden berkenaan bukan sahaja menggemparkan negara malah memberi kesan besar kepada penduduk setempat apabila lebih 100 orang cedera termasuk kanak-kanak, selain ratusan rumah dan kenderaan rosak teruk.
“Saya telah menghubungi pihak berkuasa serta wakil agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat terperinci. Staf Parlimen Kota Raja juga telah diarah turun padang bagi menyalurkan bantuan awal dan bekerjasama dengan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau turut menyambut baik jaminan segera daripada Perdana Menteri berhubung pembaikan infrastruktur dan kebajikan mangsa yang terjejas.
Katanya, siasatan menyeluruh dan telus perlu dilaksanakan segera bagi mengenal pasti punca kejadian serta memperketat langkah keselamatan supaya insiden sama tidak berulang.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen jiran dan semua agensi kerajaan seperti bomba, polis, petugas perubatan dan pihak berkuasa tempatan yang bertindak pantas menyelamatkan mangsa dan mengawal keadaan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang, patuhi arahan keselamatan dan saling menjaga kebajikan sesama kita. Semoga semua mangsa yang dirawat diberi kesembuhan dan kita diberi kekuatan untuk bangkit bersama,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
