Gempa Myanmar: Harapan makin tipis selepas tempoh 72 jam

Orang ramai sanggup tidur di tengah jalan kerana bimbang dengan gempa susulan.
Orang ramai sanggup tidur di tengah jalan kerana bimbang dengan gempa susulan.
A
A
A

MYANMAR mengumumkan tempoh berkabung selama seminggu, beberapa hari selepas negara dilanda perang saudara itu dilanda gempa kuat.

Pengumuman tersebut dibuat pemerintah junta pada Isnin selepas angka kematian bencana itu melepasi 2,000 orang dan harapan semakin tipis untuk menemui mangsa yang mungkin terselamat di bawah runtuhan selepas terperangkap lebih 72 jam.

Sehingga Ahad ini, bendera kebangsaan juga akan dikibarkan separuh tiang bagi memberi penghormatan kepada mangsa terkorban akibat bencana tersebut.

Pesakit terpaksa ditempatkan di pekarangan Hospital Besar Mandalay.
Pesakit terpaksa ditempatkan di pekarangan Hospital Besar Mandalay.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Mandalay, salah sebuah bandar paling teruk terjejas gempa berkekuatan 7.7 skala Richter itu dan berpopulasi kira-kira 1.7 juta penduduk juga semakin perlahan.

“Situasi sangat teruk dan sukar untuk menentukan tahap kemusnahan sebenar. Kira-kira 270 orang dilaporkan masih hilang manakala lebih 3,900 yang lain cedera. Jumlah korban dijangka meningkat,” kata jurucakap pihak berkuasa.

Selepas anggota penyelamat bertungkus-lumus selama tiga hari, seramai empat mangsa termasuk ibu hamil dan seorang kanak-kanak berjaya dibawa keluar daripada bawah runtuhan di Mandalay yang terletak berhampiran pusat gempa pada Jumaat lalu.

Penduduk setempat terpaksa berlindung di tepi jalan sepanjang Mandalay selama tiga hari berturut-turut setelah siri gempa susulan mencetuskan panik.

Artikel Berkaitan:

Operasi SAR dipergiatkan di lokasi runtuhan bangunan di Bangkok yang terkena tempias gempa di Myanmar.
Operasi SAR dipergiatkan di lokasi runtuhan bangunan di Bangkok yang terkena tempias gempa di Myanmar.

Sebahagian daripada mereka tinggal di bawah khemah sementara, manakala selebihnya hanya berbaring dengan beralaskan selimut di tengah jalan dan cuba menjauhkan diri daripada bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Bantuan antarabangsa

Sementara itu, sekurang-kurangnya 19 maut selepas Bangkok turut terkena tempias gegaran kuat di Myanmar hingga menyebabkan menara setinggi 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh.

Mesin pengimbas dan anjing pengesan telah dikerahkan ke lokasi terjejas dengan harapan untuk menjejaki kira-kira 75 mangsa yang masih hilang.

Antara mangsa yang berjaya dibawa keluar daripada timbunan runtuhan bangunan di Mandalay selepas tempoh 48 jam. Foto AFP
Antara mangsa yang berjaya dibawa keluar daripada timbunan runtuhan bangunan di Mandalay selepas tempoh 48 jam. Foto AFP

Timbalan Gabenor Bangkok, Tavida Kamolvej berkata, mereka akan terus mempergiatkan usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat meskipun harapan untuk menemui mereka masih hidup selepas terperangkap selama 72 jam semakin pudar.

Bagi meringankan beban Myanmar yang berdepan ketidaktentuan akibat pertempuran antara puak pemisah antijunta dan tentera, beberapa negara termasuk China, Rusia Malaysia serta Singapura bertindak segera menghantar bantuan.

“Tidak kira berapa lama tempoh operasi itu perlu dijalankan, perkara paling penting adalah kita terus memberi harapan kepada penduduk terkesan,” kata Ketua Misi Menyelamat dari Beijing, Yue Xin.

Usaha bersepadu itu juga disertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berusaha menghantar bantuan kemanusiaan buat mangsa.

Anggota penyelamat bertafakur selama seminit semasa upacara itu yang diadakan berhampiran lokasi terjejas gempa pada Selasa. Foto AFP
Anggota penyelamat bertafakur selama seminit semasa upacara itu yang diadakan berhampiran lokasi terjejas gempa pada Selasa. Foto AFP

Selain itu, Amerika Syarikat (AS) turut menjanjikan bantuan berjumlah AS$2 juta (RM8.87 juta) melalui pertubuhan kemanusiaan berpusat di Myanmar.

Ketika ini Hospital Besar di Mandalay terpaksa memindahkan 1,000 katil dengan ratusan pesakit ditempatkan di luar kompleks berkenaan.

“Semua orang sedang berdepan kesukaran. Kami mencuba yang terbaik untuk membantu mereka,” ujar jurucakap kakitangan perubatan. - Agensi

Info

>Infrastruktur kritikal termasuk jambatan, lebuh raya, lapangan terbang dan landasan kereta api dilaporkan musnah. Penilaian kemusnahan sebenar sukar diperoleh kerana akses yang terhad.

>Lebih 3.5 juta penduduk hilang tempat tinggal selain sistem kesihatan berdepan tekanan besar berikutan banyak kemudahan binasa dan menghadapi kesukaran untuk menampung kebanjiran mangsa bencana itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!