Ketagihan media sosial punca perceraian usia emas

Kesunyian yang dialami isteri akibat sifat ketagih suami terhadap media sosial menyebabkan ikatan perkahwinan segelintir pasangan terlerai di usia tua. Gambar hiasan
Kesunyian yang dialami isteri akibat sifat ketagih suami terhadap media sosial menyebabkan ikatan perkahwinan segelintir pasangan terlerai di usia tua. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketagihan terhadap media sosial menjadi punca perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri yang telah melayari bahtera perkahwinan selama puluhan tahun, menyebabkan hubungan yang dibina sekian lama berakhir di usia emas.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan Hushim Salleh mendedahkan, terdapat banyak kes perceraian melibatkan pasangan berumur 50 tahun ke atas akibat ketagihan media sosial, termasuk penggunaan aplikasi seperti TikTok dan Facebook, terutamanya dalam kalangan suami.

Menurutnya, trend perceraian di usia tua semakin meningkat, dengan rekod kes yang dikendalikannya mencatatkan purata tiga perceraian setiap bulan sejak Januari lalu, berbanding hanya satu atau dua kes sebulan pada tahun sebelumnya.

“Ketagihan terhadap media sosial kini menjadi penyumbang utama kepada perceraian selepas lebih 20, 30, atau 40 tahun berkahwin.

“Ramai isteri mengadu bahawa suami mereka terlalu asyik dengan TikTok, sering tersenyum dan ketawa sendirian serta mengabaikan komunikasi dengan mereka.

“Situasi ini menyebabkan isteri berasa kesunyian, lebih- lebih lagi apabila pada usia ini, pasangan suami isteri biasanya hanya tinggal berdua di rumah. Anak-anak pula sudah tamat belajar, bekerja, dan berkahwin, lalu menetap secara berasingan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hushim menambah, ketagihan media sosial juga mengakibatkan komunikasi dan sentuhan fizikal antara pasangan semakin berkurangan, hingga mendorong isteri membuat keputusan untuk bercerai.

Jelasnya, hampir separuh daripada kes yang dikendalikannya berakhir dengan perceraian, terutamanya apabila suami tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas sesi kaunseling.

Katanya, selain itu juga ramai isteri sudah tawar hati setelah bertahun-tahun menanggung perasaan terabai.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang nekad bercerai sering mengatakan keputusan itu dibuat kerana mereka sudah lama tidak bahagia. Selama ini, mereka bertahan demi anak-anak yang masih kecil, tetapi kini, apabila anak-anak sudah dewasa, mereka memilih untuk mengakhiri perkahwinan yang tidak membahagiakan.

“Masalah rumah tangga yang tidak diselesaikan dan diperbaiki juga menjadi punca utama berlakunya perpisahan,” ujarnya.

Hushim turut mendedahkan bahawa sebilangan isteri mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan tinggal bersama anak-anak kerana berasa lebih dihargai di sana.

“Saya sedang menangani dua kes isteri yang keluar rumah dan enggan pulang. Mereka lebih selesa tinggal di rumah anak dan meluangkan masa dengan cucu kerana merasakan tiada makna untuk kembali ke rumah sendiri jika suami hanya sibuk dengan telefon.

“Ada juga isteri yang sudah bersara merancang untuk tinggal di rumah jagaan warga emas yang moden dan berbayar.

“Mereka berpendapat bahawa tinggal di rumah jagaan lebih menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan rakan sebaya, berbanding hidup dalam kesunyian di rumah sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Hushim menasihatkan golongan suami agar lebih bijak mengawal penggunaan media sosial dan gajet bagi mengelakkan kemudaratan terhadap perkahwinan yang telah lama dibina.

Beliau menegaskan bahawa perceraian di usia emas adalah sesuatu yang sukar dihadapi oleh mana-mana pasangan.

“Suami perlu belajar menjadi pasangan yang romantik kerana ia mampu mengeratkan kembali hubungan suami isteri.

“Mereka juga perlu menjadikan isteri sebagai sahabat, tempat bergurau senda, dan teman berbual.

“Komunikasi amat penting dan tidak boleh diabaikan, kerana ia menjadi faktor utama dalam kebanyakan kes penceraian. Selain itu, suami juga perlu mempunyai empati terhadap isteri,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan program pasca perkahwinan khusus untuk warga emas bagi membina semula keharmonian rumah tangga dan menyemai semula sifat romantik antara pasangan.

“Jika boleh, program ini dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan melibatkan pasangan dari pelbagai kaum agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!