Aidilfitri di Dubai: Meriah dengan bunga api, 'santai' tanpa baju raya

Irfan Khairi dan keluarga.
Irfan Khairi dan keluarga.
A
A
A

SHAH ALAM - Beraya di perantauan memberikan pengalaman yang berbeza berbanding di tanah air, terutama di Dubai yang mempunyai budaya sambutan tersendiri.

Usahawan dan pempengaruh, Noor Irfan Khairi Noor Azmi, 48, yang menetap di luar negara selama 16 tahun, berkongsi pengalaman menyambut Aidilfitri di Dubai dengan budaya pemakaian, bunga api dan bazar Ramadan yang berbeza daripada Malaysia.

Irfan Khairi.
Irfan Khairi.

Noor Irfan Khairi atau lebih dikenali sebagai Irfan Khairi berkata, beliau telah menetap di Dubai selama sembilan tahun dan salah satu faktor utama berpindah ke negara itu adalah untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatan perundingan dalam bidang keusahawanan yang telah diusahakan di Malaysia selama lebih 15 tahun.

“Sebenarnya saya pernah tinggal di United Kingdom (UK) selama lebih kurang tujuh tahun dan di Dubai selama sembilan tahun, jadi keseluruhannya 16 tahun di luar negara.

"Ketika saya mula tiba di Dubai sembilan tahun lalu, saya melihat banyak peluang kerana ekonomi dan perniagaan di sini baru berkembang. Perkhidmatan sebagai seorang perunding sangat diperlukan, jadi saya mengambil keputusan untuk berpindah ke sini bagi membangunkan perniagaan saya," katanya.

Menurutnya yang berasal dari Perak, suasana sambutan Aidilfitri di Dubai tidak semeriah di Malaysia kerana masyarakat Arab lebih gemar meraikan perayaan Aidiladha.

Namun, jelasnya, ada keunikan tersendiri seperti pesta bunga api besar-besaran yang dianjurkan oleh kerajaan negara itu, sama seperti sambutan Tahun Baharu di Malaysia.

“Dekat sini meriah dengan bunga api atau mercun, kalau Aidiladha sampai tujuh hari, kerajaan akan anjurkan sebabnya individu diharamkan. Jadi saya, isteri dan empat orang anak saya akan pergi melawat tempat yang menarik untuk lihat bunga api tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kalau di Malaysia, kita sibuk beli baju raya, tukar langsir tetapi dekat sini lebih santai. Setakat ini sudah tujuh ke lapan tahun memang tak pernah beli baju raya semuanya pakai jubah putih sahaja.

“Dan tahun ini kami memang tak balik Malaysia, kalau nak balik Malaysia lebih kurang seminggu memang tak berbaloi, jadi kadang-kadang keluarga yang akan datang ke Dubai untuk beraya bersama,” katanya.

Ulas Irfan Khairi berkenaan solat sunat Aidilfitri di Dubai, ia diadakan lebih awal sejurus selepas Subuh dan tiada amalan menziarahi tanah perkuburan seperti di Malaysia.

Tambahnya, daripada segi juadah pula, keluarganya tetap mengekalkan tradisi makanan Melayu dengan menyediakan rendang dan lemang yang dimasak dalam cawan kertas, hasil kreativiti isterinya.

Bercerita tentang bazar Ramadan di Dubai, beliau berkata, ia jauh berbeza dengan di Malaysia kerana lebih menyerupai pasar malam yang menjual barangan seperti pakaian, minyak wangi, peralatan dapur dan bukan sekadar makanan berbuka puasa.

“Oleh itu, saya nak cakap...saya di sini dah lama, dah kurang rasa sedih bila tak dapat beraya...jadi kepada mereka terutama pelajar yang tak dapat pulang ke Malaysia beraya, nasihat saya nikmati sahaja, jangan terlalu sedih sebab tiada guna pun. Cuba hargai pengalaman beraya di luar negara, ada magisnya.

“Terakhir daripada saya, Selamat Hari Raya, kepada keluarga, isteri, anak-anak dan pengikut saya...maaf zahir dan batin,” tambahnya riang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!