41 tahun tanpa takbir raya, rindu yang tak pernah pudar di perantauan

Aunty Nora (kanan) di pusat komuniti muslim di Melbourne, Australia.
Aunty Nora (kanan) di pusat komuniti muslim di Melbourne, Australia.
A
A
A

SHAH ALAM - "Sudah 41 tahun saya tidak dengar takbir raya secara langsung, saya rindu sangat nak dengar."

Demikian luah rakyat Malaysia yang bermastautin di Melbourne, Australia, Norasiah Hassan Simkin, 70, dan menetap di sana 47 tahun lalu, sejak 1978.

Norasiah atau mesra disapa ‘Aunty Nora’ itu berkata, suasana pagi Syawal di perantauan jauh berbeza daripada kemeriahan di tanah air kerana budaya di Australia tidak mengamalkan tradisi takbir seperti di Malaysia.

Rumah terbuka yang selalu mengumpulkan rakyat Malaysia termasuk para pelajar di rumah Aunty Nora di Melbourne, Australia.
Rumah terbuka yang selalu mengumpulkan rakyat Malaysia termasuk para pelajar di rumah Aunty Nora di Melbourne, Australia.

Katanya, meskipun sambutan Aidilfitri di luar negara tetap diraikan, kehilangan suasana takbir bergema di surau dan masjid membuatkan hatinya sayu.

“Pertama kali saya datang ke Australia ketika umur lima tahun...dan selepas itu pada tahun 1984, merupakan kali pertama saya dengar takbir raya secara langsung. Itu pun disebabkan saya isteri seorang tentera Australia jadi kami boleh beraya bersama komuniti Islam di markas tentera.

“Sebab itulah saya rindu sangat suasana bergema takbir, kemeriahan di kampung, bunyi mercun kemudian bau orang memasak rendang atau kuih raya kiri dan kanan rumah. Kalau saya rindu pula, apa yang saya boleh buat adalah cari radio Malaysia untuk dengar lagu raya dan memasak makanan Malaysia.

“Dekat sini memang tak ada bau memasak, kalau nak memasak waktu raya, kita masak dengan komuniti atau kawan terapat sahaja dan saya pula suka memasak... terutama kepada komuniti, orang kurang bernasib baik dan para pelajar. Pernah sekali itu ada pelajar Malaysia datang rumah saya jam 1 pagi untuk beraya, saya sanggup masak untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Antara juadah yang dimasak oleh Aunty Nora.
Antara juadah yang dimasak oleh Aunty Nora.

Tambah Aunty Nora yang berasal daripada Kuala Lumpur, rumahnya itu sentiasa terbuka untuk rakyat Malaysia terutama para pelajar, untuk beraya dan berkumpul bersama-sama.

Jelasnya yang mempunyai tiga orang anak, dia cuba memenuhi permintaan mereka dengan memasak juadah kegemaran untuk dijamu kepada tetamu yang berkunjung.

“Sebenarnya, saya sudah lama tidak pulang beraya di Malaysia kerana faktor kesihatan, kalau balik pun untuk bercuti sahaja. Pagi raya selalunya memang akan masak, pergi masjid, bermaaf-maafan bersama suami dan anak-anak.

“Di sini, masak-memasak semua saya akan buat dengan anak perempuan saya. Alhamdulillah mungkin tidak sama dengan kemeriahan di tanah air tetapi saya cuba hadirkan suasana itu di rumah dan pusat komuniti.

“Sebenarnya, saya paling rindu nak makan dodol dan wajik...tetapi di sini macam mana nak ‘kayuh’ dalam kawah, jadi sekarang saya belajar buat guna gelombang mikro (microwave), walaupun tak sama macam dalam kawah,” ujarnya.

Aunty Nora (dua dari kiri) di pusat komuniti muslim di Melbourne, Australia.
Aunty Nora (dua dari kiri) di pusat komuniti muslim di Melbourne, Australia.

Menurut Aunty Nora, kebanyakan komuniti dan pelajar Islam di sini masih mengekalkan tradisi memakai pakaian tradisional ketika Aidilfitri.

Kata dia, jiran tetangganya yang berlainan bangsa juga sering memuji kemeriahan warna yang ditonjolkan menerusi pemakaian baju kurung dan baju Melayu.

“Orang dekat sini cakap, baju kita sangat meriah, warna-warni dan semua puji...sebab jika nak dibandingkan dengan orang Arab yang kebanyakannya baju warna putih, hitam atau gelap sahaja.

“Kemudian berkenaan rumah terbuka, selalunya memang saya akan buat seperti di rumah, pusat komuniti atau markas tentera...bila ramai yang datang bukan sahaja rakyat Malaysia, berlainan agama, seronok sangat rasa, banyak kaum yang hadir dari serata dunia.

“Saya juga nak kongsi pengalaman saya pertama kali solat sunat Aidilfitri di sini...solat mereka setengahnya berbeza sebab lain mazhab, tetapi Alhamdulillah sekarang saya dah tahu beza,” tambah Aunty Nora.

Jelasnya, kehadiran tetamu di rumah terbuka bukan sahaja mengubat kerinduan terhadap keluarga, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan tradisi, budaya makanan, agama dan perayaan Malaysia kepada masyarakat di sana.

Diminta memberi ucapan raya, dia meluahkan harapan untuk bersama keluarganya di tanah air kerana kerinduan yang teramat dalam.

“Di akhir-akhir hayat ini, saya nak sangat bersama adik beradik walaupun ayah dan ibu telah tiada...rindu sangat semuanya...rindu tak terkata, bila teringat sedih sangat. Teringin sangat nak balik ke kampung, nak duduk dengan kakak dan adik saya...sudah lama sangat saya di sini.

“Tetapi apakan daya tercampak ke negara kanggaru, jadi saya nak ucap Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin untuk keluarga, rakan-rakan di tanah air, Amerika Syarikat (AS) dan Australia...minta halalkan segala makan minum saya,” katanya menangis ketika di temu bual.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!