Panggilan video pengubat rindu dua pelajar Palestin

Dari kiri: Maysa dan Amani.
Dari kiri: Maysa dan Amani.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Demi menuntut ilmu, dua pelajar Palestin di Malaysia terpaksa berkorban dengan meninggalkan keluarga dan tanah air yang bergolak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pun begitu, bagi penuntut di salah universiti awam di sini, Utt Amani S A, 26, dan Maysa Awaad, 35, panggilan video menjadi satu-satunya cara untuk berkongsi kegembiraan Syawal bersama keluarga di Palestin.

Meskipun mereka sedar ia tidak mampu menggantikan kemesraan berkumpul seperti kebiasaan, namun itu sahaja yang mampu mengubat kerinduan kepada sanak-saudara.

Menurut Utt Amani, yang pertama kali menyambut Aidilfitri di Malaysia, dia mengakui sukar menerima hakikat tidak dapat meraikannya bersama keluarga.

“Di Palestin, kami akan bersarapan bersama selepas solat sunat Aidilfitri, kemudian menziarahi sanak saudara dan menikmati hidangan tradisional seperti maamoul serta kambing panggang.

"Tahun ini, saya hanya mampu melihat wajah mereka melalui skrin telefon. Saya tahu mereka gembira melihat saya sihat di sini, tetapi dalam masa sama, pasti ada rasa sebak kerana kami berjauhan,” katanya.

Sementara itu, Maysa yang juga pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) berkata, walaupun sudah beberapa kali menyambut Aidilfitri di Malaysia, kerinduan terhadap keluarganya di Gaza tidak pernah pudar.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri di Gaza dan Malaysia ada banyak persamaan antaranya bermula dengan solat sunat Aidilfitri di masjid sebelum mereka sekeluarga menikmati hidangan pagi yang ringkas tetapi bermakna.

“Selepas itu, budaya ziarah sangat penting di Gaza. Kaum lelaki akan keluar menziarahi jiran dan saudara-mara, manakala wanita menyediakan kuih kaak dan maamoul serta minuman teh dan kopi untuk tetamu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, suasana itu tidak dapat dinikmati di Malaysia. Di sini, sambutan lebih meriah dengan rumah terbuka, dekorasi yang cantik dan semangat kejiranan yang tinggi. Rakyat Malaysia juga mesra dan mengalu-alukan kami untuk beraya bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maysa berkata, selain keluarga, satu lagi cabaran menyambut Aidilfitri di perantauan adalah masalah komunikasi yang sering terganggu akibat keadaan di Gaza.

“Kadang-kadang, talian internet atau elektrik akan terputus. Ada ketika saya terpaksa menunggu berjam-jam untuk memastikan panggilan video dapat dibuat.

"Walaupun teknologi membantu menghubungkan mereka, tetap ada kesedihan kerana tidak dapat bersalaman atau berpelukan dengan insan tersayang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!