Empat remaja terlibat rusuhan, rosak kenderaan ditahan

JOHOR BAHRU - Empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden rusuhan dan kerosakan kenderaan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, laporan polis mengenai insiden itu dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa telah diserang sekitar jam 6.30 petang pada Jumaat, di hadapan sebuah pangsapuri di sini.
"Mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama abang dan kakaknya telah ditahan oleh sekumpulan lelaki. Apabila mangsa keluar dari kenderaan, dia dipukul menggunakan tangan, kaki, dan topi keledar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menangkap empat suspek pada Sabtu dan Ahad di sekitar Tampoi, Johor Bahru.
Jelasnya, semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Ahad untuk permohonan tahanan reman.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian bernilai RM25 atau lebih, dengan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan sebarang perbalahan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi tiga minit 21 saat yang memaparkan pergaduhan tersebut yang berlaku di sebuah pangsapuri di bandar raya Johor Bahru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

