Polis pantau lokasi 'panas' jenayah

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kawasan titik panas yang akan diberi tumpuan sepanjang Aidilfitri kali ini bagi menghindar berlakunya kegiatan jenayah.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihak PDRM telah mengesan kawasan 'panas' di lokasi masing-masing oleh semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah.
Beliau berkata, kawasan titik panas adalah berdasarkan kepada laporan diterima oleh polis bagi kejadian kes jenayah harta benda dan kekerasan yang telah berlaku di seluruh kontinjen dan dianalisis oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) kontinjen dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) daerah.

“Aplikasi yang digunakan bagi mengenal pasti kawasan titik panas adalah Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) dan aplikasi tersebut boleh diakses oleh semua KJPJKK dan KBPJKK di seluruh kontinjen atau daerah.
“Melalui aplikasi SPBS kawasan titik panas akan ditandakan dan dijadikan rujukan bagi melaksanakan perancangan pelaksanaan rondaan pencegahan jenayah harian di peringkat kontinjen atau daerah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Wan Hassan berkata, rekod terkini kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas melalui analisis SPBS adalah sebanyak 3,148 kawasan di seluruh kontinjen.
Jelas beliau, kawasan titik panas yang paling tinggi adalah di kontinjen Selangor dengan 764 kawasan, diikuti kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 446 kawasan.
Beliau berkata, Op Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mac dan berakhir pada 3 April ini.
Kata beliau, menerusi Op Selamat yang diadakan pada setiap tahun semasa sambutan hari perayaan di negara ini, JPJKK akan memfokuskan kepada usaha untuk mengurangkan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah.
Dalam mencapai objektif tersebut tegas beliau, elemen dalam JPJKK yang akan digerakkan sepenuhnya membabitkan unit rondaan bermotosikal (URB) dan pasukan kereta peronda (MPV).
Menerusi elemen itu katanya, rondaan lebih kerap akan dijalankan di taman-taman perumahan dan kawasan berisiko tinggi.
“Rondaan pencegahan jenayah oleh MPV dan URB akan dilaksanakan, malah dipergiatkan sepanjang tempoh Op Selamat di kawasan tumpuan seperti taman-taman perumahan, premis perniagaan yang menjadi tumpuan ramai, sekolah-sekolah, pusat ibadat serta sasaran-sasaran penting.
“Fokus juga diberikan kepada rumah-rumah dan premis yang ditinggalkan kosong.
“Rondaan juga dilaksanakan oleh lain-lain elemen daripada lain-lain jabatan dalam PDRM,” ujarnya.
Menurut beliau, sebanyak 2,670 unit kereta peronda dan 1,800 unit motosikal URB bersama 6,543 keanggotaan MPV dan URB akan digerakkan untuk tugas rondaan sepanjang musim perayaan pada kali ini.
Tambahnya, rondaan dilaksanakan 24 jam mengikut syif yang melibatkan sebanyak 1,129 kawasan rondaan di seluruh kontinjen.
Rondaan cegah jenayah
Selain itu kata beliau, rondaan pencegahan jenayah sepanjang tempoh sambutan hari raya dan Op Selamat akan turut memberi tumpuan kepada rumah-rumah yang ditinggalkan oleh penghuni kerana pulang ke kampung halaman.
Bagi tujuan itu menurutnya, orang ramai perlu membuat laporan pergerakan di balai polis berhampiran atau laporan secara dalam talian melalui aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP).

“Orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung dan meninggalkan tempat kediaman atau premis perniagaan dinasihatkan agar melaporkan pergerakan kepada polis.
“Tindakan yang boleh diambil adalah dengan mengisi borang di balai polis atau jika kesuntukan masa, boleh membuat panggilan ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan atau melalui VSP.
“PDRM memerlukan data ini untuk dijadikan asas tindakan seterusnya. Segala maklumat yang diberikan adalah sulit,” tegasnya.
Menurut beliau, semua langkah tersebut bagi memastikan harta benda yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.
Berdasarkan maklumat yang diterima, jelasnya, ia akan membolehkan petugas barisan hadapan untuk melaksanakan rondaan lebih kerap terhadap kediaman yang ditinggalkan oleh orang ramai untuk menyambut hari raya bersama ahli keluarga.
INFO
Kes pecah rumah dan curi
TAHUN | JUMLAH
2024 | 190 kes
2023 | 166 kes
2022 | 172 kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
