Akta Kredit Pengguna penyelamat daripada amalan berhutang - Pakar

SHAH ALAM - Penyedia platform akan cenderung menawarkan pembiayaan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang boleh menganggu gugat kedudukan kewangan pengguna sekiranya industri tersebut tidak dikawal selia dengan punca kuasa yang sesuai.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, oleh itu, pengguna yang terlalu bergantung dengan BNPL disaran agar tidak terburu-buru dalam berbelanja susulan Akta Kredit Pengguna 2025 yang dijangka dikuatkuasakan pada akhir tahun ini.
Menurut Mohd Afzanizam, kawalan melalui perundangan memberi suatu punca kuasa bagi pihak kerajaan untuk mengawal selia industri BNPL demi melindungi kepentingan pengguna agar tidak terjerumus ke dalam permasalahan keberhutangan yang tinggi.
“Isunya adalah bagi memastikan kedudukan kewangan terpelihara.
“Sebaiknya pengguna perlu membuat perancangan seperti belanjawan peribadi sebelum membuat keputusan untuk berbelanja.
“Ia merupakan suatu tindakan yang wajar dan bijak agar kita sentiasa maklum tentang keupayaan kewangan kita.
“Selain itu, elakkan daripada membeli secara terburu-buru dan mengikut perasaan atau impulse buying kerana ia akan merugikan terutamanya perbelanjaan tersebut adalah di luar kemampuan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, kawalan kendiri merupakan aspek terpenting dalam mentadbir urusan kewangan peribadi.
Justeru beliau berkata, perihal celik atau literasi kewangan juga penting agar pengguna memahami sebarang keputusan berkaitan kewangan mereka dari segi implikasinya.
“Kempen berkaitan literasi kewangan perlu diperhebatkan supaya rakyat sentiasa cakna tentang kepentingan memelihara kedudukan kewangan peribadi,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan pengguna tidak lagi boleh berbelanja sesuka hati menerusi perkhidmatan BNPL selepas Akta Kredit Pengguna 2025 dijangka dikuatkuasakan pada akhir tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
