Sastera dalam kemelut politik negara masa kini

A
A
A

SASTERA ialah satu daripada cabang budaya yang penting kerana pengaruhnya yang besar dan hayatnya yang panjang berbanding dengan kota dan material lain yang mempunyai jangka hayat terbatas. Oleh itu, sastera sentiasa relevan untuk diperkatakan dalam setiap zaman dan segenap bidang, termasuk politik. Apakah hubungan antara sastera dengan politik?

Kemelut politik negara sekarang sukar dijangka kesudahannya kerana belum pernah berlaku perubahan demi perubahan dicatatkan oleh pemain politik pada setiap hari, malahan dalam sehari pun berlaku beberapa perubahan.Para penganalisis politik hanya bercakap demi memenuhi masa yang diperuntukkan kepada mereka kerana penonton sedang menunggu-nunggu cerita baharu, ulasan segar, dan ramalan masa depan. Namun, ulasan dan ramalan mereka tidak berupaya memberi jawapan kepada persoalan yang timbul, bahkan semakin mengelirukan fikiran khalayak.

Bagi warga sastera, permasalahan politik tidak boleh dibiarkan terpuruk di sudut kamar perhitungan dan strategi kerana hayat sastera sangat bergantung pada dasar politik dan karenah penguasa politik. Di tangan penguasa politik tergenggam tali hayat sastera, sama ada sastera akan dimartabatkan atau dilemaukan oleh sikap ketidakpedulian yang menyukarkan pernafasan sastera itu sendiri.

Setiap dasar pembangunan negara, sama ada dalam aspek pendidikan, ekonomi, mahupun kebudayaan, sangat besar pengaruhnya pada sastera. Tanpa perhatian dan sikap penuh prihatin terhadap sastera para oknum politik, semua dasar tersebut akan meminggirkan sastera demi memberikan ruang yang lebih nyaman dan luas kepada bidang lain yang kononnya lebih penting dalam pembinaan negara.

Oleh itu, mahu tidak mahu, warga sastera mesti membuka mata terhadap permainan dan strategi ahli politik dan membuatkan mereka juga membuka mata terhadap dunia sastera. Sokongan terhadap pemimpin politik juga sepatutnya mengambil kira minat dan kecenderungan mereka terhadap sastera. Malahan jika perlu, para politikus perlu digoncang-goncang agar menoleh kepada bidang sastera.

PemikiranSejarah politik negara telah memberikan gambaran jelas tentang pentingnya penguasa politik yang memahami manfaat sastera dalam pembinaan negara. Misalnya, dalam dekad 1970-an sedang negara bergelut untuk membangunkan negara selepas dikejutkan oleh peristiwa 13 Mei 1969, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Tentu sahaja ini ada hubungannya dengan keprihatinan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein terhadap sastera.

Salah satu aspek yang diberi perhatian ialah sastera kebangsaan lalu terakamlah konsep kesusasteraan kebangsaan yang inklusif sifatnya. Kerajaan melihat sastera sebagai saluran yang wajar dimanfaatkan untuk merangsang pemikiran rakyat demi mencapai pembangunan.

Peraduan demi peraduan menulis dianjurkan, hadiah sastera diwujudkan, dan insentif penerbitan disediakan untuk sastera hidup cergas dan perkasa.

Artikel Berkaitan:

Penulis pula memberikan sumbangan yang besar melalui karya yang menyuarakan aspirasi masyarakat. Pada tahun 1970-an sahaja lahir novel-novel besar seperti Kemelut, Srengenge, Perjudian, Arca Berdiri Senja, Pulanglah Perantau, Interlok, Meniti Buih, Badan Bertuah, Merpati Putih Terbang Lagi, Sandera, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Saga.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada tahun 1956 terus diperkasakan dan berfungsi memacu perkembangan sastera. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pula berjaya menerbitkan ribuan judul buku. Penulis bercambah, buku bertambah, dunia sastera meriah.

Sastera tidak boleh dibiarkan hidup bersendirian tanpa bantuan pemerintah kerana pasaran kita kecil. Jumlah jualan tidak mampu untuk menampung penerbit hidup lama dan selesa. Demi melayani penulis yang terkial-kial mencari penerbit, dana ajaib sentiasa diperlukan.

Jika tidak, lumpuhlah sastera.Inilah yang berlaku apabila ITBM sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) tidak lagi menerima dana dan bantuan daripada kerajaan. Operasi ITBM terpaksa dibataskan; penerbitan buku dikurangkan; bantuan kepada persatuan penulis dihentikan; dan akhirnya hikayat penerbitan karya sastera asli di ITBM tamat.

Perubahan kerajaan turut menambahparahkan keadaan. ITBM tidak lagi berdaya menampung keperluan operasi syarikat apatah lagi untuk menerbitkan buku seperti sebelumnya. DBP juga semakin mengurangkan operasi penerbitannya kerana kononnya peruntukan tahunan daripada kerajaan juga dikecutkan.

Dr. Maszlee Malik ketika menjadi Menteri Pendidikan cuba memberikan perhatiannya kepada sastera dengan layanan manis terhadap Sasterawan Negara dan kumpulan terpilih. Dia memperlihatkan usahanya untuk melayan warga sastera tetapi malangnya kesannya tidak sampai ke akar umbi kerana sikapnya yang terlalu memilih itu.Kini, harapan warga sastera tetap terawang-awang di langit yang tinggi.

Semoga kerajaan baharu nanti meletakkan orang yang sesuai untuk menjaga pendidikan dan kebudayaan kerana itulah tapak semaian untuk menumbuhkan sastera.Sekurang-kurangnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pendidikan akan diterajui oleh manusia politik yang celik akal budinya dan faham akan nilai kesusasteraan. Pelantikan watak yang jahil budaya tetapi sebaliknya celik material hanya akan membantutkan kelestarian kesusasteraan dan budaya murni kita.