RISDA, UCAM dan MCI perkasa TVET negara

Malaysia mengambil langkah progresif dalam memperkukuh sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan modal insan negara, terutamanya generasi belia, seiring perubahan landskap dunia yang dipacu oleh teknologi serta kemahiran khusus.
Baru-baru ini, kolaborasi strategik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) bersama Malaysia-China Institute (MCI) telah menjayakan misi penanda aras berimpak tinggi ke negara China.
Misi tersebut bukan hanya lawatan teknikal biasa, tetapi menjadi simbol keazaman kerajaan dalam memperkayakan ilmu selain membina jaringan strategik dan mempersiapkan generasi muda Malaysia menempuh tuntutan serta persaingan global.
Lawatan kerja tersebut telah berlangsung bermula 16 hingga 22 Mac 2025, merentasi empat bandar utama China iaitu Beijing, Taizhou, Nanning dan Fuzhou.
Seramai 18 orang delegasi yang diketuai oleh Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib bersama-sama Rektor UCAM, Ts Dr Rossly Salleh dan pegawai kanan RISDA, UCAM serta MCI.
Delegasi tersebut turut mewakili aspirasi pembangunan nasional dalam usaha membina model pembangunan belia desa lebih progresif, inklusif dan bertaraf antarabangsa melalui pendekatan pendidikan teknikal berteraskan inovasi, teknologi serta jaringan industri.
Titik pertemuan Malaysia-China: Memperkasa agenda TVET negara
Dalam pada itu, kerjasama antara negara ini berlangsung pada momen yang signifikan, iaitu di mana Malaysia kini sedang giat melaksanakan reformasi menyeluruh TVET menerusi Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pendekatan bersepadu yang melibatkan kerajaan, industri, institusi pendidikan dilihat sebagai kunci untuk mengatasi jurang kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran belia dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara, berasaskan pengetahuan, kemahiran serta inovasi.
Sebagai inisiatif lanjutan kepada pengisytiharan penubuhan MCI oleh Menteri KKDW pada 11 September 2023, lawatan itu menjadi pemula kepada rangkaian kerjasama TVET dua hala yang lebih tersusun.
Kerjasama itu turut menjadi asbab kepada pengukuhan hubungan diplomatik 50 tahun antara Malaysia dan China dalam kerangka baharu berorientasikan pembangunan kapasiti belia.
Sepanjang lawatan tersebut, pelbagai siri kunjungan dan pertemuan rasmi telah diadakan di institusi pendidikan dan vokasional terkemuka China, termasuk China Agricultural University di Beijing, Jiangsu Agri-Animal Husbandry Vocational College di Taizhou, Guangxi Vocational and Technical College di Nanning serta Fujian Vocational College of Agriculture di Fuzhou.
Barisan delegasi Malaysia diberi pendedahan langsung kepada pelbagai pendekatan pembelajaran terkini seperti penggunaan teknologi data raya (big data) dalam pengurusan ladang dan dasar pertanian, latihan penternakan berasaskan robotik dan aplikasi realiti maya dalam pendidikan teknikal serta veterinar.
Kolaborasi akademik dan mobiliti global
Dalam pada itu, salah satu pencapaian penting hasil lawatan tersebut adalah ketersediaan institusi di China untuk menandatangani surat niat bersama pihak UCAM dalam bidang pertukaran pelajar dan pensyarah, program latihan industri serta penyelidikan bersama dalam bidang pertanian pintar, industri halal dan hortikultur lestari.

Institusi seperti Jiangsu Agri-Animal Husbandry Vocational College telah mengesahkan penerimaan pelajar UCAM bagi menjalani latihan industri bermula Ogos 2025 dan menjadi langkah penting untuk menjayakan agenda mobiliti global pelatih TVET.
Pendekatan pendidikan di China yang menekankan pengalaman pembelajaran menyeluruh dengan kombinasi komprehensif bidang akademik dan latihan industri serta penggunaan teknologi secara menyeluruh memberi inspirasi kepada UCAM menambah baik struktur kurikulum, meningkatkan akses kepada kemahiran digital serta memperkukuh latihan berteraskan keperluan industri tempatan semasa.
Inovasi Teknologi Hijau dan Pertanian Lestari
Lawatan itu juga memfokuskan kepada aspek tenaga boleh diperbaharui dan logistik pertanian masa hadapan.
Sesi lawatan dan perbincangan bersama JA Solar, JAC New Energy dan Neolix Autonomous Vehicle membentangkan pelbagai potensi kerjasama termasuk cadangan pembangunan ladang solar RISDA di Pahang.
Ia termasuk cadangan menggunakan lori elektrik untuk logistik hasil getah dan integrasi teknologi kenderaan autonomi di kawasan luar bandar, yang mampu memberikan manfaat signifikan kepada masyarakat desa serta komuniti pekebun kecil getah itu sendiri.
Kesemua cadangan itu bukan sahaja mampu memperkukuh operasi RISDA secara dalaman, tetapi juga mengangkat imej sektor pertanian dan komoditi utama negara sebagai sektor yang moden, mapan serta berdaya saing global.
Dalam pada itu, ia juga mencerminkan keupayaan teknologi baharu sebagai pemangkin kepada produktiviti pekebun kecil, mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dan menjadi pemangkin dalam memupuk minat belia untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang agroteknologi.
Cadangan penubuhan kampus satelit TVET China di Malaysia
Salah satu cadangan strategik yang dibincangkan sepanjang lawatan ialah penubuhan kampus satelit institusi TVET China di Malaysia.
Cadangan itu dilihat mampu mempercepatkan pemindahan teknologi, membolehkan pemerkasaan tenaga pengajar tempatan dan memperluas akses pelajar Malaysia kepada program TVET bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara.
Ia juga bakal menjadi pemangkin kepada pewujudan lebih banyak program bersama di mana pelatih TVET Malaysia berpeluang memperoleh sijil yang diiktiraf di peringkat serantau.
Inisiatif tersebut bukan sahaja selari dengan Pelan Tindakan Dasar Pendidikan TVET Negara, tetapi turut mendukung visi Malaysia sebagai hab TVET Asia Tenggara menjelang 2030.
TVET teras pembangunan belia Madani
Umumnya, lawatan penanda aras itu penting untuk memperkukuh peranan RISDA melalui UCAM dengan kerjasama MCI dalam membangunkan ekosistem TVET luar bandar secara holistik dari aspek pendidikan, latihan, keusahawanan sehingga kepada penyelidikan.
Ia mampu membuktikan bahawa pelatih TVET daripada golongan belia desa negara ini juga mempunyai potensi besar untuk bersaing secara global, asalkan diberi ruang, sokongan dan peluang untuk berkembang.
Menurut Manndzri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat MCI, lawatan tersebut menandakan satu titik perubahan dalam pendekatan TVET negara.
“Kita sedang membina masa hadapan belia melalui pendidikan, teknologi dan jaringan antarabangsa. Ini adalah pelaburan dalam membangunkan bakat tempatan, tidak hanya dalam membentuk kemahiran semata-mata,” katanya.

RISDA juga akan berusaha meneruskan inisiatif yang menyatukan pendidikan dengan inovasi lapangan, memastikan pekebun kecil dan komuniti desa tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi serta pendigitalan.
Dalam konteks Malaysia Madani dan Desa Madani, sudah tentu usaha itu mencerminkan aspirasi negara untuk membina masyarakat, termasuk golongan belia desa yang seimbang berpengetahuan, berkemahiran dan berbudaya tinggi.
Misi besar RISDA, UCAM dan MCI ke China bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi langkah ke hadapan dalam usaha membina Malaysia sebagai sebuah negara yang menghargai ilmu pengetahuan, mengangkat kemahiran dan bakat serta membina persediaan generasi muda untuk memimpin pada masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
