Perak kenal pasti tapak baharu peniaga, penjaja Pekan Tapah

IPOH - Peniaga dan penjaja di Pekan Tapah mendapat berita gembira apabila kerajaan Perak bersetuju menempatkan mereka ke lokasi baharu yang lebih strategik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya mengambil maklum isu melibatkan penjaja kecil yang terjejas akibat pelaksanaan sistem penyuraian trafik itu.
Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan bersama persatuan peniaga pada 24 Mac lalu bagi mencari penyelesaian terbaik.
"Kerajaan telah mengenalpasti satu lokasi strategik yang dicadangkan sebagai tapak penempatan semula penjaja.
"Cadangan tersebut disambut baik oleh persatuan peniaga dan sesi perbincangan serta libat urus akan dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan agar segala permasalahan yang timbul dapat ditangani secara berkesan," katanya
Saarani berkata, bagaimanapun beberapa proses pentadbiran dan isu pemilikan masih perlu dilaksanakan sebelum lokasi tersebut dapat dimuktamadkan.
Menurutnya, lokasi yang dipilih itu terletak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah dan tanah tersebut milik kerajaan Persekutuan bagaimanapun kerajaan negeri sudah mengenal pasti tanah untuk ditukar ganti.
Beliau dalam pada itu percaya rakyat Perak, khususnya warga Tapah, matang dan rasional dalam menilai usaha kerajaan.
Katanya, sebarang perubahan akan mengambil masa tetapi dengan perancangan, keikhlasan dan ketelusan, akan membuahkan hasil untuk nikmati bersama.
Sementara itu, peniaga dan penjaja menyambut baik hasrat kerajaan untuk memindahkan peniaga yang terkesan ke lokasi baharu.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang, Abdul Rashid Osman berkata, selama ini memang peniaga inginkan dataran penjaja seperti di tempat lain dan akhirnya impian bakal terlaksana.
"Bagi pihak persatuan kita gembira apabila MB (Menteri Besar) umumkan tapak yang kita cadangkan itu sebab di Tapah, memang tidak banyak kawasan yang boleh dijadikan tapak niaga.
"MB memang menyokong peniaga kecil, malah sebelum menjadi MB pun, beliau sudah memperjuangkan kepentingan penjaja," katanya.
Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang, Azrul Azmi Yaziz pula, penjaja dan peniaga bersetuju dengan lokasi yang dicadangkan.
Katanya, pihak persatuan merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana mempertimbangkan permintaan mereka untuk ditempatkan di lokasi yang lebih strategik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

