Bayaran dam, korban haji tahun ini ditetapkan RM875
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan kadar bayaran dam dan korban bagi musim haji 1446H (tahun 2025) pada harga RM875 bagi setiap ekor qibas di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam menerusi aplikasi ThiJARI dan kaunter pejabat TH, manakala penyertaan korban dibuka kepada semua pendeposit TH.
“TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran dam buat bakal jemaah haji bagi musim haji tahun ini, bermula pada Jumaat, 28 Mac sehingga 3 Julai.
“Pembayaran penyertaan korban di Tanah Suci pula boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula dari 28 Mac sehingga 31 Mei,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran urusan dam dan korban, TH menjalinkan kerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) iaitu pembekal haiwan sembelihan yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi.
“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana ia lebih mudah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dirujuk melalui saluran rasmi TH bagi memastikan jemaah mendapatkan perkhidmatan yang sahih dan terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

