ABIM cadangkan KPM laksana hari, minggu khas aktiviti perpaduan

Ahmad Fahmi
Ahmad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadangkan agar memperuntukkan satu hari atau minggu khas untuk melaksanakan aktiviti perpaduan kebangsaan di setiap sekolah.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pelaksanaan pemakaian simbol semata-mata tidak memadai untuk memupuk semangat perpaduan nasional.

Menurutnya, semangat itu perlu diterjemahkan ke dalam pengalaman harian yang bermakna.

"ABIM menyambut baik inisiatif KPM yang memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah-sekolah sebagai langkah menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pelajar.

"Namun, program seperti gotong-royong, sukan rakyat, seni budaya dan aktiviti kolaboratif antara sekolah-sekolah berbilang kaum wajar dihidupkan semula sebagai medium interaksi muhibah yang praktikal.

"Ia juga boleh menjadi ruang mendidik pelajar tentang makna sebenar hidup bersama dalam budaya damai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, KPM akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya mulai 21 April 2025 secara berperingkat.

Langkah ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, setiap murid akan dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma untuk sesi persekolahan 2025/2026.

Artikel Berkaitan:

ABIM turut mencadangkan agar program itu dijenamakan semula sebagai Kem Muhibah Madani demi kesinambungan serta penambahbaikan kepada Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang kini kurang mendapat perhatian.

"ABIM yakin pendekatan ini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja bangga menjadi rakyat Malaysia, tetapi juga mampu hidup bersama dengan saling menghormati, memahami dan bekerjasama demi masa depan negara yang lebih harmoni," katanya.

Beliau menambah, 'Hidup Bersama dalam Budaya Damai' bukan sekadar slogan, tetapi satu cara hidup yang mesti dipupuk sejak di bangku sekolah.

Mengulas mengenai pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid, Ahmad Fahmi berpendapat, ia perlu dibuat secara berperingkat agar tidak membebankan mana-mana pihak.

Katanya, dalam masa sama KPM digesa menyediakan penerangan yang lebih ringkas, jelas dan mudah difahami ibu bapa dan pihak sekolah bagi mengelakkan kekeliruan.

"Usaha ini wajar diperkasa sebagai simbol yang membina identiti nasional serta kesedaran sivik generasi muda.

"ABIM juga menghargai komitmen KPM dalam menyediakan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid sekolah termasuk di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Ini membuktikan pendekatan yang menyeluruh dan adil dalam pelaksanaan dasar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!